AKTRES Nabila Huda Suhaimi sudah tidak asing dalam sisi lakonan di negara ini.

Berilah apa sahaja watak padanya, hasilnya tidak pernah menghampakan. Bakat seni yang mengalir dalam diri anak lagenda rock, Amy Search ini benar-benar terserlah.

Awal bulan lalu, penulis mendapat khabar daripada orang kuat AlI'tisam Program Relief (ARP), pelakon ini akan bersama-sama dalam misi kemanusiaan ke Kg Ambel, Kemboja Ramadan ini.

Terkejut juga. Tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya pelakon ini akan melalui setiap saat di sana yang penulis gambarkan 50 tahun jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan keadaan kampung-kampung di Malaysia.

Mudah cerita, kalau kampung di sini dirasakan daif, di Kg Ambel lebih dahsyat.

Menurut orang kuat itu lagi, Nabila Huda atau lebih mesra dengan panggilan Abil ini, mahu mengisi aktiviti pada bulan Ramadan. Misi bantuan ke Kemboja menjadi pilihan berdasarkan pemerhatian aktres ini di perkampungan Wilayah Champa itu.

Dengan pengalaman penulis sendiri yang pernah ke sana April lalu dan merasai sendiri terik mentari serta melalui kepayahan kehidupan di Kg Ambel, boleh dianggap Abil mungkin tidak boleh meneruskannya.

Namun, sangkaan penulis tersasar, benarlah kata orang kalau sudah diniatkan dalam hati, untuk beramal dan memberi bantuan, tambahan berkat bulan Ramadan ini semuanya menjadi mudah.

Menerusi kata-kata dalam akaun Twitternya, Abil begitu teruja sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pnom Penh.

Sungguhpun cuaca terik memandangkan bumi Kemboja sudah hampir 10 bulan tidak dibasahi hujan, namun Abil menerimanya dengan tenang sekali.

Menuju ke Kg Ambel memakan masa hampir enam jam perjalanan dari bandar Pnom Penh, suasana perjalanan tidak begitu indah dek kerana habuk jalan mematikan pemandangan.

Debu-debu itu mengalih pandangan tanaman jagung, sawah padi yang menjadi antara aktiviti pertanian utama masyarakat di sana.

Jalan rayanya pula, tidak secantik dan 'sesedap' di Malaysia. Di sana, jalan raya tidak rata. Rasa nak lena tapi tak boleh lena.

Pemandu van akan membunyikan hon setiap satu minit. Itu sebagai tanda diri mereka jika bertemu kenderaan lain. Tiada istilah selesa dalam perjalanan ke Kg Ambel, yang ada rasa penat, dahaga dan mungkin tercalit rasa 'menyesal' dan ingin berpatah balik ke Malaysia.