ALOR SETAR - Gerakan kumpulan militan di negara ini dengan berselindung di sebalik golongan ilmuwan, perlu dipantau dan dibanteras segera kerana membahayakan keselamatan negara.

Timbalan Pengerusi II, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, pihaknya memandang serius isu ini kerana penglibatan golongan cerdik pandai seperti pensyarah, dalam aktiviti itu dibimbangi mampu mempengaruhi minda pelajar dan masyarakat.

“Kumpulan militan yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pensyarah di pusat pengajian tinggi (IPT) adalah satu perkara serius dan membimbangkan. Kita bimbang ia mengancam keselamatan dalam negara dan beri kesan besar pada negara, namun bersyukur kerana polis cepat menghidu pergerakan mereka,” katanya.

Menurutnya, pelajar IPT mudah diseleweng dengan dakyah palsu malah mudah dipujuk menyertai apa jua  gerakan jika pihak yang mengajak pandai menggunakan perkataan jihad dan perjuangan Islam.

“Saya berharap pihak berkuasa mengekang kemasukan gerakan itu ke IPT yang cuba merekrut pelajar. Manakala tenaga pengajar yang hendak diambil bekerja perlu dikaji latar belakangnya secara terperinci supaya dapat hindari perkara itu berleluasa,” katanya.

Mustaffa berkata, pendedahan penglibatan pensyarah IPT dalam gerakan itu mengejutkan banyak pihak, namun pihak berkuasa perlu tegas menangani isu ini jika terbukti pensyarah itu terlibat secara total dengan militan.