MEDIA Brazil mula mengkritik prestasi buruk dicapai pasukan kebangsaan yang kalah dengan jaringan besar kepada Jerman dan menganggap ia keputusan paling memalukan dalam sejarah bola sepak negara itu.

Akhbar dan pengulas televisyen menggelarkan ia sebagai kekalahan “Mineirazo”, satu kiasan yang merujuk kepada Stadium Mineirao di Belo Horizonte, iaitu lokasi perlawanan separuh akhir pertama, pagi tadi.

Trauma kekalahan bola sepak Brazil sebelum ini adalah pada 1950 yang diingati sebagai “Maracanazo”, lokasi perlawanan akhir 64 tahun lalu itu, di mana Brazil tewas kepada Uruguay.

Sementara itu, di laman web akhbar Folha de Sao Paulo, pautan berita itu memaparkan tajuk “sejarah memalukan" merujuk kepada kekalahan paling teruk yang dialami Brazil dalam sejarah 100 tahun itu.

“Brazil dimalukan sekali lagi ketika menjadi tuan rumah,” kata sebahagian artikel dalam web berkenaan.

Laman web berita G1 pula memetik jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari berkata “Keputusan paling buruk”.

Penerbitan sukan Globoesporte.com pula memanggilnya “paling memalukan”, lapor Agensi.

Sementara itu, jurulatih pasukan itu, Luiz Felipe Scolari memohon maaf kepada seluruh rakyat Brazil di atas kekalahan yang cukup mengejutkan dunia itu.

"Saya ingin mohon maaf. Kepada semua rakyat Brazil, saya mohon kemaafan kerana kesilapan negatif ini," kata Scolari, 65, selepas pasukanya dibaham 7-1 oleh Jerman.