PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk menyelamatkan golongan gelandangan melalui 'Ops Qaseh', kata Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

"Tiada siapa yang patut tinggal di jalanan kerana ia mengundang banyak bahaya," katanya.

Beliau berkata golongan itu seharusnya berada di rumah atau bersama keluarga.

"Di rumah, atau setidak-tidaknya, mereka boleh tinggal di institusi saya," kata Rohani.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara di sini hari ini.

Rohani menafikan laporan beberapa media bahawa operasi itu sudah bermula malam tadi.

"Kita belum mula. Kita hendak selesaikan beberapa perkara dulu," katanya. 

Rohani berkata, gelandangan yang ditemui semasa "Ops Qaseh' itu akan disaring, di mana penagih dadah umpamanya akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mereka yang mempunyai masalah mental diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan rakyat asing pula kepada Jabatan Imigresen, kata beliau.

Bagi golongan orang tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) pula mereka akan dibawa ke Desa Bina Diri di Sungai Buloh, Selangor untuk dikenal pasti keluarga terdekat, katanya.

"Mereka akan diberi latihan, motivasi dan kaunseling sebelum dibenarkan pulang apabila keluarga terdekat datang menuntut mereka.

"Mereka yang tidak dituntut boleh tinggal di sana sehingga tiga tahun sambil mempelajari pelbagai perkara," katanya.

Rohani berkata, ramai daripada mereka yang tinggal di jalanan mempunyai kerja, namun tidak mampu untuk mendapatkan tempat tinggal.

"Kami rujuk mereka kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bantu mereka," katanya. - Bernama