RAMADAN lalu, aktor kacak, Ashraf Muslim mengejutkan ramai pihak setelah akhirnya dia mengakui sudah menikahi Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 Thailand.

Perkahwinan kedua itu berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama, Noor Dayana Lokman. Ashraf dan Dayana bernikah di Makkah pada 30 Ogos 2011.

Dek kerana tindakannya itu, banyak pihak mula mencemuh Ashraf dan Sakinah sehingga ia menimbulkan pertelingkahan di antara penyokong Ashraf dan 'hater'nya.

Ramai yang seolah-olah melaga-lagakan dan mengkritik apa sahaja tindakan yang dilakukan Sakinah.

Namun, kuasa ALLAH SWT tiada siapa yang menduga, beberapa gambar Dayana dan Sakinah yang diambil bersama membuktikan mereka berdua bahagia dan menerima poligami dengan hati terbuka.

Bahkan sedikit demi sedikit ungkapan-ungkapan benci dan cemuhan mula berkurangan dan mereka yang membenci juga mula mendoakan kebahagiaan keluarga ini.

Terbaru, kelahiran Sarah Ashraf pada 5 April lalu menyatukan cinta antara Dayana-Ashraf-Sakinah.

Dalam setiap perkahwinan, tidak ada sesiapa yang mahu berpoligami, baik yang sudah berumah tangga, ataupun yang masih belum. Namun Qada dan Qadar ALLAH SWT tiada siapa yang dapat menduga.

Begitu jugalah yang berlaku dalam perjalanan tiga individu ini, Ashraf Muslim, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Siapa sangka, daripada setinggi-tinggi cemuhan, mereka kini melalui fasa kehidupan yang cukup bahagia di samping kehadiran pengikat cinta mereka, Sarah Ashraf.

Letakkan ke tepi apa yang berlaku sebelum ini, namun kehadiran si kecil ini benar-benar menyatukan bapa dan dua ibu mereka.

Bahkan kehadiran Sarah juga membuktikan tiada sengketa yang terjadi di antara dua ibu mereka seperti yang sering menjadi pertikaian antara orang luar sebelum ini.

"Memang sejak awal lagi, saya tidak ambil peduli dengan kata-kata negatif orang lain. Mulut orang memang kita tidak boleh tutup.

"Alhamdulillah, Dayana dan Sakinah juga tidak ambil kisah dengan kata-kata orang luar. Apa yang penting kami boleh teruskan kehidupan bahagia dengan kehidupan kami sekarang," katanya kepada Zass,

Berkongsi pengalaman sejak bergelar bapa dua bulan lalu, Ashraf berkata, kehadiran Sarah sememangnya memberi erti baru buat mereka bertiga.

"Alhamdulillah, kehadiran Sarah memang banyak mengubah kehidupan kami. Macam saya, walaupun tanggungjawab makin besar, tapi saya gembira dengan kehadiran Sarah.

"Saya juga banyak belajar untuk menjaga anak dengan baik kerana bukan senang mahu menjaga anak. Macam saya, saya memang sukakan budak-budak," katanya.


Nikmat, syafaat Ramadan

Menyentuh mengenai sambutan Ramadhan yang pastinya berbeza dari tahun lalu, Ashraf berkata, dia kini lebih selesa memberi tumpuan kepada ibadah dan begitu juga dengan isteri-isterinya.

Jelas Ashraf, Ramadan yang datang setahun sekali membuatkan dia lebih selesa untuk mempertingkatkan amal ibadah berbanding membuat persiapan raya.

"Ramadan hanya datang setahun sekali dan dalam 30 hari itu, pelbagai nikmat dan syafaat yang kita dapat kerana selain berpuasa, bila kita beribadah, amal kita akan lebih bertambah.

"Jadi macam saya cakap dengan isteri-isteri saya, masa inilah kita mahu banyakkan beribadat. Tak cukup tidur pun tak apa kerana hanya sebulan ini sahaja kita dapat merasainya.

"Jadi macam persiapan raya saya tidak buat sangat biarpun dengan kehadiran orang baharu. Kata orang bersederhana kerana Aidilfitri yang meriahnya pun hanya untuk tiga hari pertama itu sahaja," katanya.


Rezeki semakin murah

Berkongsi perkembangan terkininya, Ashraf berkata, dia kini sibuk memberi fokus kepada syarikat produksinya dan turut memberi tumpuan kepada penjualan jubah sempena hari raya.

Bagaimanapun katanya, perniagaannya di Jalan Tunku Abdul Rahman tidak diteruskan tahun ini.

"Saya mahu beri fokus kepada satu-satu perkara terlebih dahulu. Macam saya katakan, saya mahu beri tumpuan kepada ibadah terlebih dahulu.

"Dalam masa sama, ada beberapa perniagaan lain yang berjalan seperti biasa. Berlakon juga Alhamdulillah masih ada tawaran dan saya juga baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri untuk siaran RTM," katanya.

Di tebak mengenai rawatan perubatan Islam yang pernah dijalankan sebelum ini, Ashraf berkata, dia masih aktif membantu mengubati pesakit.

"Saya masih mengubati pesakit tapi tidaklah macam dulu. Kadangkala ada pesakit yang sudah biasa berubat dengan saya, ada di antaranya yang datang berjumpa saya di rumah dan pejabat, ada juga yang saya sendiri bertemu dengannya.

"Cuma saya tidak buka pusat perubatan seperti dahulu, kalau ada pun di Bidor, Perak, tapi ia dibantu oleh orang lain," akhirinya.