PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mempertimbangkan untuk memberi bantuan kepada keluarga remaja yang dibelasah bapanya sehingga meninggal dunia, kelmarin.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, bantuan awal telah pun dihulurkan kepada keluarga itu termasuk wang ringgit dan kaunseling.

“Pegawai saya dah turun, kami memberi kaunseling kepada ibunya kerana bapanya telah ditahan. Kita beri bantuan awal sebanyak RM300 kepada ibunya untuk membantu.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Suami memang panas baran'

“Insya-ALLAH akan pertimbangkan bantuan kepada ibu dan adik-adiknya untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sehari-hari,” katanya kepada pemberita, semalam.

Mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17 ditemui mati di dalam biliknya dipercayai dipukul bapa kandungnya hanya kerana menyatakan hasrat untuk bekerja membantu keluarga.

Suspek yang berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Padang kira-kira jam 2.30 pagi semalam.