Minimum perselisihan pendapat Protaz, Uspro - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Minimum perselisihan pendapat Protaz, Uspro

SHAH ALAM - Protaz (profesional yang ustaz) dan Uspro (ustaz yang profesional) harus saling melengkapi dan bersifat terbuka dalam menyampaikan dakwah agar perselisihan pandangan boleh diminimumkan.

Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Harlina Halizah Siraj berkata, dalam konteks profesion, setiap penceramah mempunyai latar belakang, disiplin kerjaya dan kepakaran berbeza.

"Sebagai Muslim profesional, garis panduan dalam kerjaya mereka amat  penting bagi mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab dalam tuntutan Islam, namun tetap sedar akan batasan yang perlu dipatuhi.

"Namun sesetengah Uspro adakalanya mereka terikut-ikut dengan ajaran asal daripada guru mereka sekali gus mengurangkan pencambahan ilmu. Budaya ini sedikit sebanyak akan menghasilkan pandangan berbeza di antara Protaz dan Uspro," katanya yang juga panel pertama Seminar Wacana Cendekia Protaz dan Uspro: Realiti Dakwah Masa Depan.

Menurut Dr Harlina, amat penting golongan Protaz dan Uspro untuk saling menghormati tanpa mengira kedudukan profesion atau ketinggian ilmu dimiliki mereka.

"Generasi muda diharapkan lebih bersikap terbuka dan untuk menjadi mukmin profesional harus mengambil berat aspek agama selain mendalami Bahasa Arab dan  Inggeris agar dapat memberi impak dalam penyampaian dakwah atau ceramah," katanya.

Dalam pada itu Dr Harlina mendefinasikan Protaz (profesional yang ustaz) sebagai individu yang tidak mempelajari bidang agama pada asalnya namun mahir dalam bidang profesional seperti perubatan, akauntan, undang-undang dan sebagainya.

Biasanya mereka menjawat jawatan profesional sebelum mendalami bidang agama Islam namun memberi keutamaan kepada bidang profesional dalam menyampaikan ceramah mahupun dakwah.

Manakala Uspro adalah golongan yang mendalami agama Islam sebagai jurusan utama.

Pada masa sama mendalami ilmu, bahasa, pengurusan, pentadbiran dan kemahiran komunikasi dan mengabungkan keduanya dalam penyampaian dakwah.

Menurut Dr Harlina, seorang Protaz harus berani menegakkan kebenaran dan berpegang kepada prinsip, memiliki akhlak dan keperibadian yang tinggi serta hasil kerja yang baik.

"Seorang Protaz harus amanah walaupun tanpa pengawasan orang lain dan tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab.

"Dalam berdakwah dan  menyampaikan ceramah, seorang Protaz biasanya menggunakan beberapa pendekatan seperti mengadun ilmu sains dan Islam, memanfaatkan dakwah secara digital agar lebih interaktif selain menjadikan Bahasa Inggeris sebagai medium perantara," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Cabaran Luaran dan Dalaman Islam.
0 Komentar untuk "Minimum perselisihan pendapat Protaz, Uspro"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI