GEORGETOWN - Komen Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tentang isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mempamerkan sikap kerajaan negeri pimpinan DAP itu yang tidak mempunyai kebertanggungjawaban, tidak telus dan tidak cekap, kata pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow.

Chang Yeow berkata, tindakan Guan Eng menuduh beliau menentang pembesaran PIA adalah keterlaluan dan menunjukkan ketua menteri itu terdesak untuk mengalih isu berkenaan.
  
"Saya tidak pernah menentang pembesaran PIA. Saya hanya tidak bersetuju dengan pendekatan beliau (Guan Eng) tentang pembesaran lapangan terbang itu apabila beliau meminta dua landasan. Beliau gagal menyokong permintaan itu dengan fakta dan angka.
  
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa pandangan saya tentang pembesaran lapangan terbang itu ialah landasannya perlu dipanjangkan bagi menampung kegunaan pesawat lebih besar," katanya bagi mengulas kenyataan Guan Eng semalam.
  
Bercakap kepada pemberita hari ini, Chang Yeow berkata, beliau menyokong saranan Guan Eng tentang pembinaan hab kargo dan kemudahan menyenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) kerana itulah rancangan awal Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk PIA ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
 
Chang Yeow juga mencabar Guan Eng supaya mengikut jejak Tsu Koon yang berani mengumumkan angka pelaburan langsung asing (FDI) setiap tahun, tanpa mengira ia memberangsangkan atau sebaliknya.
  
"Ketua Menteri itu sekali lagi memperdaya orang ramai dengan menggabungkan angka bagi empat tahun mengenai FDI Pulau Pinang. Beliau mendakwa bahawa dari 2010 hingga Ogos 2013, jumlah FDI ke Pulau Pinang berjumlah RM19.7 bilion atau hampir 20 peratus daripada jumlah FDI Malaysia.

"Beliau perlu bercakap benar. Malah, FDI ke Pulau Pinang merosot teruk dari 2010 hingga 2013 apabila ia berkurangan daripada RM10.4 bilion kepada RM1.7 bilion, jatuh hampir 82 peratus," kata Chang Yeow.
  
Chang Yeow mengulangi bantahannya terhadap pembinaan sebuah lapangan terbang di Kulim, berbeza dengan Guan Eng, yang memberi persetujuan bersyarat mengenainya.

"Pulau Pinang boleh kehilangan lapangan terbangnya kepada Kulim melalui persetujuan bersyarat itu" kata beliau. - Bernama