SHAH ALAM - [VIDEO] Pusat zakat disarankan agar menubuhkan pusat peduli Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membela nasib golongan tersebut.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, apa yang menimpa remaja OKU yang ditemui dikurung dan kebuluran di Nilai semalam patut dijadikan pengajaran.

"Kepada institusi agama, seperti pusat zakat kenapa tidak ada 'one stop center' untuk orang OKU.

"Kita ada kutipan zakat yang bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

"Jadi sepatutnya pusat zakat tubuhkan pusat peduli OKU, bagi mereka pendidikan, bagi mereka perlindungan," katanya ketika menyampaikan seminar Protaz VS Uspro: Realiti Dakwah Masa Depan anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Politeknik Shah Alam, hari ini.

Tersentuh dengan kejadian yang menimpa remaja berkenaan, Dr Maszlee tampil dengan idea berkenaan supaya dapat membantu golongan yang memerlukan.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Maszlee menambah, Malaysia boleh belajar daripada negara Eropah dalam mengendalikan golongan OKU.

"Pegawai kerajaan atau sesiapa yang bertanggungjawab dalam perihal OKU boleh pergi ke negara Eropah bagi mempelajari sendiri cara pengendalian golongan OKU di sana.

"Kalau di Eropah, ibu bapa yang mempunyai anak OKU tidak menyesal kerana  memiliki  anak OKU, kerana sistem yang ada akan membuatkan mereka bangga memiliki anak OKU," katanya.

Semalam, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak, Nilai menemui seorang remaja OKU berusia 15 tahun dalam keadaan yang begitu menyayat hati.

Ketika ditemui, tubuh remaja malang itu terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan.

Lebih menyedihkan, bilik di mana remaja malang itu dikurung penuh dengan sampah, najis dan tanah.

Baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ.