ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengumumkan tarif air bagi kegunaan perindustrian di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) akan meningkat 20 peratus mulai 1 Ogos 2014.

Bagaimanapun, ia bersetuju mengekalkan tarif T3 iaitu RM1.05 meter padu kepada pengilang terbabit sehingga 31 Julai 2014.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tarif T3 sudah diguna pakai sejak 1 Oktober 2010 hingga 31 Julai lalu perlu dikaji semula.

"Bermula pada 1 Ogos 2014, Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan mengguna pakai tarif T4 iaitu RM1.41 meter padu kepada 21 akaun melibatkan 15 kilang di KHTP.

"Tidak kira siapa termasuk yang sebelum ini menikmati tarif  agak istimewa iaitu RM1 meter padu akan dikenakan tarif T4," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Bagaimanapun, Sada disaran membuat kajian terlebih dahulu sebelum menetapkan keseragaman tarif air yang baru di KHTP.

"Kita harap kadar yang ditetapkan ini adalah berpatutan berbanding negeri jiran yang lain. Tujuan kita umumkan tarikh ini lebih awal supaya pengilang dapat merancang dari segi kos pengeluaran yang melibatkan air," katanya.