KWSP raih pendapatan pelaburan RM9.16b - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

KWSP raih pendapatan pelaburan RM9.16b


Meningkat RM1.51 bilion suku kedua berakhir 30 Jun 2013

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM9.16 bilion dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2013, meningkat 19.70 peratus atau RM1.51 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pertumbuhan kukuh pendapatan itu didorong terutama oleh prestasi mantap pelaburan dalam saham yang mencatatkan pulangan lebih tinggi berbanding pada suku kedua 2012.
Beliau berkata, pengurus dana persaraan itu menjana pendapatan sebanyak RM5.60 bilion daripada pelaburan saham dalam tempoh tiga bulan itu berbanding RM3.84 bilion pada tempoh sama tahun lalu, iaitu kenaikan 45.70 peratus atau RM1.75 bilion.

“Peningkatan itu dipacu terutama oleh keuntungan daripada pelaburan dalam pasaran saham tempatan dengan memanfaatkan kecairan dagangan dan harga yang bertambah baik pada Mei dan Jun selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),” katanya.

Dalam tempoh dikaji, pelaburan KWSP dalam hartanah dan Infrastruktur terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan pendapatannya meningkat kepada RM296.28 juta berbanding RM14.38 juta pada suku kedua tahun lalu.

Dividen awal diterima daripada Kwasa Global (Jersey) Ltd UK, anak syarikatnya yang menguruskan pelaburan hartanah luar negara menyumbang pendapatan yang ketara dalam tempoh berkenaan.

Pendapatan daripada pelaburan dalam sekuriti kerajaan Malaysia dan yang bon sama tarafnya pula ialah RM1.53 bilion, naik RM34.21 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu, manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM215.20 juta.
Sementara itu, pendapatan daripada pinjaman dan bon adalah lebih rendah iaitu RM1.53 bilion berbanding RM2.06 bilion pada tempoh sama tahun lalu berikutan keuntungan sekali saja yang diperoleh pada 2012 dan tidak berulang suku kedua tahun ini.

Setakat 30 Jun 2013, aset pelaburan KWSP meningkat RM59.30 bilion kepada RM554.14 bilion daripada RM494.84 bilion pada suku kedua tahun lalu.

Jumlah caruman yang diterimanya dalam tempoh itu berjumlah RM13.88 bilion berbanding pengeluaran sebanyak RM9.73 bilion, menghasilkan aliran masuk dana bersih sebanyak RM4.15 bilion.

Dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2013 itu, KWSP telah membuat pelaburan tambahan di luar negara sebanyak AS$2.51 bilion (RM8.24 bilion) yang dilaburkan dalam saham, bon dan hartanah.

Daripada jumlah itu, AS$2.15 bilion (RM7.06 bilion) disalurkan ke mandat ekuiti global untuk mengambil peluang terutama dalam pasaran maju.

Shahril berkata, KWSP kekal komited untuk meningkatkan nilai dananya dengan terus mempelbagaikan pelaburan di pasaran domestik dan global yang berpotensi memberikan pulangan optimum tetapi tanpa menjejaskan objektif untuk melindungi simpanan pencarumnya.

“Dari semasa ke semasa, KWSP akan mengimbangi semula portfolionya untuk tujuan kepelbagaian dan mengambil kesempatan terhadap peluang pasaran yang wujud,” katanya.

Mengenai prospek untuk seluruh tahun ini, beliau berkata, risiko dan aktiviti global akan terus memberikan impak terhadap prospek ekonomi dan mungkin memberikan impak tidak seimbang terhadap pasaran sedang berkembang pesat termasuk Malaysia.

“Namun, KWSP yakin Malaysia berupaya dan bersedia menguruskan ketidaktentuan yang dijangka wujud berikutan aktiviti dan pengaliran modal global,” katanya sambil menegaskan bahawa pengurus dana persaraan itu akan terus berhati-hati dengan perkembangan itu untuk melindungi pelaburannya demi manfaat pencarum.

0 Komentar untuk "KWSP raih pendapatan pelaburan RM9.16b"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI