Subky Latif: Kata Musa, Najib tak penjara rakyat - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Subky Latif: Kata Musa, Najib tak penjara rakyat


ArtikelOleh SUBKY LATIF
TUN Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri dalam satu interbiu khas dengan sebuah media telah ditanya tentang apa yang dikatakan kelemahan Perdana Menteri Najib hingga bekas PM Mahathir menarik sokongannya kepadanya.

Jawab Tun Musa, PM Najib tidak penjarakan rakyat.


Bagaimana Najib boleh memenjarakan rakyat yang menentang kerajaannya kerana dia bersetuju memansuhkan ISA. Dia belum sempat menggunakan akta itu ke atas penentangnya, ia telah dimansuhkan.
    
Jika akta itu tidak dimansuhkan, mungkin juga dia akan menggunakannya seperti Dr. Mahathir dulu. Ketika mula menjadi Perdana Menteri dulu, Dr. Mahathir telah membebaskan sekalian yang dikenakan ISA oleh pentadbiran Tun Hussein Onn.
    
Lama kelamaan, kerana ISA itu ada di depan matanya, Dr. Mahathir mencatat sejarah memenjarakan bilangan teramai di bawah ISA. Terbesar semasa Operasi Lallang dan kemudian sekian ramai pula pembantah penyingkiran Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno.
   
Apabila Najib mansuhkan ISA, maka tertutup peluangnya untuk memenjarakan seteru politik seperti itu. Mungkin gara-gara itulah yang menyangka Tun Musa bersangka baik kepada Najib. Sebelumnya Najib belum pernah menggunakan akta itu dan kemudian dia memansuhkannya, maka tertutup peluangnnya untuk memenjarakan orang yang tidak disukainya.
   
Tidak pasti apakah Tun Musa terlepas pandangan akan kes liwat 2 Anwar dilihat lebih bersifat kes konspirasi politik daripada jenayah, yang keadaannya membuli seteru politiknya.
    
Tetapi mungkin masa Tun Musa membuat komen ringkas itu, orang tidak sedar akan kuasa akta hasutan yang menghalal seteru politik dipenjarakan melalui mahkamah. Jika di bawah ISA orang dipenjara tanpa bicara, tetapi melalui akta hasutan penentang boleh dipenjara melalui perbicaraan.
   
Setakat rencana ini ditulis sekarang-kurangnya sudah dua orang pelajar yang disumbat ke penjara di bawah akta hasutan. Kedua-duanya Adam Adli dan Ahmad Jalil. Ada yang menjangkau 10 tahun.
   
Adik Ahmad, Ali Jalal yang menghadapi kes akta hasutan, telah cabut lari ke Sweeden dan mendapat suaka politik di sana. Jika dia tidak lari dia dipercayai bakal dipenjara juga.
  
Dan sekarang mahkamah pun mulai sibuk justeru ramai orang politik dan NGO yang diadukan melanggar akta hasutan sudah pun didakwa. Sekurang-kurangnya tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat sudah pun didakwa dan menunggu hari perbicaraan. Mereka ialah Khalid Samad dari Shah Alam, Nasarudin Tantawi dari Temerloh dan Rafizi Ramli dari Pandan.
   
Risiko orang yang didakwa itu disabitkan adalah tinggi. Dan dera bagi kesalahan itu adalah lebih berat dari ISA. Sekali di bawah ISA. Mangsa dipenjara tanpa bicara dan ada yang terkurung berbelas tahun, tetapi mereka tidak dikira penjenayah.
   
Mereka boleh bertanding dan ada yang menjadi menteri. Anwar Ibrahim misalnya adalah bekas tahanan ISA yang pernah memangku jawatan Perdana Menteri. Akan tetapi mangsa akta hasutan akan dicatit sebagai penjenayah dan tidak dapat difikirkan mereka boleh memegang jawatan awam.
   
Sekali pun sekarang ada usaha untuk mengembali undang-undang yang sekejam ISA itu, tetapi belum lagi ia dilulusnya. Najib tidak menunjukkan isyarat segera tentang ganti ISA itu. Katanya ada akta baru, maka belum ada jaminan Najib tidak menggunakannya seperti yang Tun Musa sangka.
   
Tetapi dengan akta hasutan mula bergerak sekarang, sangkaan Tun Musa tidak memenjarakan rakyat itu tidak lagi terpakai. Najib juga sudah memenjara pengkritik politiknya, malah lebih mendera. – HARAKAHDAILY 1/10/2014 

0 Komentar untuk "Subky Latif: Kata Musa, Najib tak penjara rakyat"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI