DAP gesa PAS pegang janji jika mahu kelangsungan Pakatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

DAP gesa PAS pegang janji jika mahu kelangsungan Pakatan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berucap di depan penyokong DAP dalam majlis makan malam, di Petaling Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 4 November, 2014.

DAP membidas PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi, berkata mereka perlu berpegang kepada janji terhadap rakyat dan gabungan parti jika mahu Pakatan Rakyat (PR) terus hidup.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PR mendapati agak sukar untuk terus beroperasi apabila PAS mempunyai pemimpin yang boleh “menolak segalanya”, termasuk keputusan yang dibuat ketika beliau tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden PR.

“Saya minta PAS, terutama presidennya, untuk memegang janji dan menunaikan komitmennya. Jika mereka tidak berbuat demikian, jenis rangka kerja seperti itu sukar,” katanya merujuk kepada kesepakatan PR yang memerlukan semua pemimpin tiga parti bersetuju dengan sesuatu keputusan sebelum ia dilaksanakan.

“Dalam mesyuarat majlis kepimpinan PR, pemimpin yang bukan presiden PAS rugi kerana mereka bukan pembuat keputusan paling utama.
“Pembuat keputusan paling penting dan utama ialah presiden PAS. Beliau sendiri kata beliau boleh menolak keseluruhan jawatankuasa pusat,” katanya.

Pada saat paling kritikal dalam krisis menteri besar Selangor, Hadi gagal menghadiri mesyuarat Majlis Presiden yang melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal bagi jawatan menteri besar.

Beliau kemudian menentang keputusan jawatankuasa pusat partinya dan Majlis Presiden PR, serta menghantar tiga nama berbeza untuk jawatan berkenaan kepada Sultan Selangor.

Lim berkata, jika PAS berhasrat untuk mengekalkan sistem yang membenarkan presiden mempunyai kuasa veto, maka Hadi perlu mula menghadirkan diri ke mesyuarat Majlis Presiden PR dan memberikan komitmen kepada keputusan yang dibuat di situ.

“Kita juga boleh menolak (partinya). Jika itu sistemnya, beliau perlu hadir mesyuarat majlis kepimpinan PR supaya kita boleh buat keputusan, kita boleh pegang janji itu dan kita boleh melaksanakan komitmen kita.

“Selagi beliau menjauji mesyuarat majlis kepimpinan PR, maka ia akan jadi sangat susah untuk PR untuk berfungsi dengan sempurna,” katanya ketika berucap di majlis makan malam kutipan dana DAP di Dewan Sivik MBPJ, malam tadi.

Lim berkata, DAP akan berada di belakang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang rayuan kes liwatnya berlangsung di Mahkamah Persekutuan, malah akan menunggunya jika beliau gagal membatalkan hukuman penjara.

“Ini bukan mudah untuk Anwar, tetapi jika beliau masuk penjara sekalipun, kami akan menunggunya hingga kembali. Kita akan tunggu kepulangannya.

“Kita mahu Anwar tahu dan yakin perkara ini, bukan (hanya) kerana beliau adalah Anwar, tetapi kerana beliau adalah mangsa ketidakadilan,” katanya. – 4 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dap-gesa-pas-pegang-janji-jika-mahu-kelangsungan-pakatan#sthash.Axnn5x7F.dpuf
0 Komentar untuk "DAP gesa PAS pegang janji jika mahu kelangsungan Pakatan "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI