"
Mafhum pluralisme agama yang dibawa oleh ketiga-tiga tokoh ini adalah mafhum yang salah, tersasar dan tidak membawa umum kepada memahami bala bencana pluralisme agama itu. Justeru, tulisan ini saya khususkan untuk menjawab kekeliruan pluralisme agama yang ditulis oleh Dr. Maza, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Chandra Mudzaffar
Menjawab salah faham pluralisme agama Dr. Mujahid, Dr. Maza dan Dr. Chandra
Oleh:
Muhammad Aiman Ahmad Faudzi
Ketua Unit Kajian Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Berikutan kes Sisters In Islam (SIS) diwartakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana mendokong pluralisme agama, ramai tokoh agamawan dan sosial yang melontarkan hujah dan mengulas soal pluralisme. Nah, berbagai-bagai tafsiran dikeluarkan. Termasuklah hujahan 3 orang tokoh yang menjadi parameter perbahasan saya pada ini.
Dr. Mujahid dalam satu penulisan yang disiarkan oleh The Malaysian Insider bertajuk “Islam dan pluralisme” telah mengistilahkan pluralisme sebagai satu anugerah Allah. Sesuatu yang bersifat fitrah dan tak wajar ditentang.
“Pluralisme (kepelbagaian/kemajmukkan) merupakan satu kejadian alam yang membuktikan tanda kekuasaan Allah.”[i]
Dr. Maza pula menulis pluralisme ini sekadar kepelbagaian dalam masyarakat, idea yang sama seperti Dr. Mujahid, tetapi dalam masa yang sama menyebut terdapat pluralisme kufur dan pluralisme yang Islam. Saya kira ini satu tindakan yang bermain-main dengan istilah.
“Apa yang penting bukan istilah-istilah ini tetapi kepercayaan atau akidah seseorang muslim berkaitan hal ini. Jika dia percaya semua agama adalah berkongsi kebenaran yang sama, atau kebenaran itu sesuatu yang subjektif, boleh dilihat pada dimensi yang berbeza, maka itu pluralisme yang kufur.”[ii]
Dr. Chandra Mudzaffar pula dalam kenyataan beliau yang disiarkan oleh New Straits Time bertajuk “Understanding Liberalism and Religious Pluralism” juga membawa idea seperti Dr. Maza dan Dr. Mujahid.
“Turning to religious pluralism, the concept has different meanings. Many Islamic scholars equate religious pluralism with religious diversity.. Accepting similarities at one level while acknowledging differences in other spheres is what defines religious pluralism.”[iii]
Mafhum pluralisme agama yang dibawa oleh ketiga-tiga tokoh ini adalah mafhum yang salah, tersasar dan tidak membawa umum kepada memahami bala bencana pluralisme agama itu. Justeru, tulisan ini saya khususkan untuk menjawab kekeliruan pluralisme agama yang ditulis oleh Dr. Maza, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Chandra Mudzaffar. Dengan muhasabah yang cukup tinggi, makalah ini diukir tanpa mengurangkan sedikit pun rasa hormat penulis kepada diri mereka. Cuma berniat sekadar membenarkan apa yang dirasakan tidak betul buat tatapan sisi masyarakat Muslim. Saya kira perlu diperjelaskan akan mafhum, makna dan ancaman pluralisme agama ini.
Pluralisme agama bukanlah konsep kepelbagaian yang ditunjukkan oleh Islam seperti yang dibahaskan oleh Dr. Mujahid Yusof Rawa. Benar apa yang ditulis YB Mujahid tentang pemisahan (Mufassolah) dari sudut aqidah tetapi ia tidak menanggapi akar permasalahan pluralisme yang sebenar. Apa yang ditulis oleh Dr. Maza pula cuba membawa satu mafhum baru terdapat pluralisme yang kufur dan yang tidak. Ini juga satu kefahaman yang tidak tepat. Pluralisme selepas usianya yang panjang telah sampai ke satu makna yang matang. Sama seperti liberalisme, mustahil ada liberalisme yang kufur dan liberalisme yang Islam. Kefahaman Dr. Chandra Mudzaffar dalam menyamakan pluralisme agama dan toleransi agama juga adalah hasil daripada kefahaman yang tidak jelas. Justeru, apa itu pluralisme agama? Saya berikan sedikit sejarah dan definisi ringkasnya di sini.
Sejarah pluralisme agama
Bibit-bibit bermulanya kefahaman pluralisme agama muncul di barat pada abad ke-20 sebagai satu solusi kepada sikap tidak toleran masyarakat beragama. Awalnya, sikap religious intolerance diwacanakan oleh Rene Guenon (1886-1951) dengan memperkenalkan Perennial Philosophy. Satu kefahaman di mana ia menolak dakwaan kebenaran bersifat eksklusif oleh pelbagai agama. Hal ini kerana kebenaran tidak bersifat hak mutlak mana-mana agama lantas dikira mampu menyelesaikan perbalahan antara agama. Falsafah ini kemudiannya dikembangkan oleh Frithjof Schuon (1907-1998), yang juga seorang perennial philosopher melalui bukunya Transcendent Unity of Religions di mana kata Schuon bagi merawatreligious intolerance masyarakat beragama perlu bersikap tidak ekslusif dan tidak mendakwa kebenaran hanya terletak pada agama yang dianutnya.
Seterusnya, wacana ini diangkat dan diperkenalkan sebagai “Pluralisme agama” oleh W.C. Smith (1916-2000) dengan nama ‘universal theology of religion’. Idea ini disambut lagi bahkan dikembangkan oleh John Hick dalam buku-buku beliau antaranya buku God Has Many Names (1980) dan Hans Küng serta mendapat sambutan hangat oleh masyarakat dunia. Dunia Islam juga tidak ketinggalan. Dari kalangan orang Islam pula, Seyyed Hossein Nasr menerima pendekatan serta fahaman pluralisme ini kemudian disambut oleh Nurcholis Madjid (1939-2005) dan kelompok Jaringan Islam Liberal di Indonesia yang kemudiannya meresapi Malaysia.
Definisi pluralisme agama
Dalam mencermati definisi pluralisme agama, saya kira mudah untuk tatapan umum saya mengetengahkan definisi pluralisme agama yang diberikan oleh Seyyed Hussein Nasr dan Nurcholis Madjid. Seyyed Hussein Nasr dalam memberi definisi pluralisme agama membawa kefahaman yang sama seperti John Hick. Seperti yang disebut oleh Adnan Aslan:
“Nasr claims that the diversity as well as the exclusive language of religious are intended and willed by God. God initiated various different religions in order to reveal the different aspect of the Divine Names and Qualities; each religion or tradition placed emphasis on one aspect of Divinity.”[iv]
Definisi yang diberikan oleh Nurcholis Madjid pula berkenaan pluralisme agama:
“ …Pandangan pluralist dengan mengatakan bahawa setiap agama sebenarnya merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah Tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan daripada berbagai-bagai agama. Filsafat paranial juga membahagi agama pada level batin dan lahir. Satu agama berbeza dengan agama lain dalam level batin tetapi relative sama dalam level lahirnya. Oleh kerana itu ada istilah “Satu Tuhan Banyak Jalan.”[v]
Inilah makna sebenar pluralisme agama. Semua agama adalah sama dan semua agama akan menuju tujuan akhir iaitu sang pencipta. Tiada istilah pluralisme ini ada kufur dan ada Islamnya. Itu satu kefahaman yang salah dan tidak benar.
Menurut Dr. Khalif Muammar dalam buku beliau “Atas Nama Kebenaran” ada menyebut pemikiran relativisme inilah yang menjadi dasar falsafah pluralisme agama.[vi] Idea relativiti inilah yang diperkenalkan oleh Frithjof Schuon dan Syed Husein Nasr. Justeru, menilai terma pluralisme agama melalui sudut pandang yang diketengahkan oleh Diana L. Eck, seperti apa yang dilakukan oleh Dr. Maza, bahawa pluralisme dan relativisme adalah sesuatu yang terpisah lalu membawa mafhum pluralisme agama sebagai jawapan kepada religious tolerance bukanlah suatu pandangan yang dikira adil kerana beliau sendiri berselindung dalam banyak ucapan-ucapan beliau dalam memperkenalkan pluralisme. Diana L. Eck seperti yang kita ketahui merupakan Director of Pluralism Project di Harvard University.
Bahkan idea relativiti dalam pluralisme agama inilah yang menghasilkan kefahaman “The absolute is relative, and the relative is absolute.” Iaitu kebenaran yang mutlak adalah bersifat berbeza-beza, dan sesuatu berbeza-beza itu adalah yang mutlak. Islam seperti yang kita yakini adalah bersifat the absolute truth, ia tidak berubah dan agama lain tidak memiliki kebenaran yang sama seperti Islam. Seperti apa yang telah Allah firmankan dalam Surah Al-Imran ayat 85:
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
Realiti pluralisme agama dalam mengaburi mata masyarakat
Jika kita perhatikan, terdapat usaha yang cenderung cuba mensinonimkan pluralisme agama dengan keterbukaan terhadap kepelbagaian agama (religious diversity) dan sikap toleransi beragama (religious tolerance). Ini sebenarnya satu percubaan yang mengelirukan dan mengaburi pandangan kita. Pluralisme agama bukanlah religious diversity ataupun religious tolerance walaupun dari satu sudut pluralisme agama menggunakan dua perkara ini. Kekaburan ini mengakibatkan kita tersepit antara tidak mengiktiraf akan kebenaran agama lain secara aqidah dan berusaha menyedarkan penganut agama lain dengan dakwah dalam masa yang sama dilema untuk hidup secara harmoni dalam kemajmukan bangsa dan agama yang sangat perlu menjaga garis nipis sensitiviti di samping perlu bersikap toleransi antara satu dan yang lain. Pelbagai definisi yang tidak tepat cuba dibawa dalam ruang kemajmukan di Malaysia dalam menanggapi apa itu pluralisme agama.
Definisi yang cuba dibawa oleh Dr. Chandra Mudzaffar dan juga Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa pluralisme agama sinonim dengan religious diversity adalah suatu persamaan yang salah. Pluralisme agama bukanlah merujuk kepada kepelbagaian agama. Walaupun itu jugalah percubaan yang sama yang dibuat lebih awal oleh Projek Pluralisme yang dikendalikan di bawah Diana L. Eck sebagai Director of Pluralism Project of Harvard University. Definisi lain juga yang sedang cuba dipakaikan adalah pluralisme agama ini adalah sinonim dengan inter-religious dialogue atas niat keharmonian antara agama dan religious tolerance. Definisi ini menanam kepercayaan kepada kita bahawa seruan supaya dialog, forum dan diskusi baik tertutup atau terbuka antara agama adalah satu keperluan bagi mengurangkan religious tensiondi Malaysia. Ia bertujuan untuk memahami satu sama lain lantas membawa kepada pengiktirafan agama tersebut. Ia juga sekaligus berbeza dengan dialog dalam membawa kepada mengiktiraf aqidah tauhid tuhan yang satu. Akhirnya, definisi yang paling ‘tepat’ akan pluralisme agama ini adalah dikatakan sebagai menerima keabsahan agama lain bahawa agama-agama di dunia merupakan banyak jalan kembali menuju kepada tuhan yang satu.
Strategi pluralisme agama
Namun begitu, dari sudut strategi, dalam menanam bibit-bibit pluralisme agama ini, ia mungkin bermula dengan memperkenalkan konsep kepelbagaian ataupundiversity kemudian beransur kepada religious tolerance dan akhirnya membawa kepada mafhum pluralisme yang hakiki. Seperti apa yang pernah diungkapkan oleh William Hutchison dalam tulisan beliau Religious Pluralism in America[vii] bahawa tahap pertama pluralisme yang perlu dilalui adalah toleransi, di mana semua perlu diberi hak untuk wujud. Kemudian tahap inklusi, iaitu menerima yang lain sebagai benar dan memasukkan semua agama dalam satu kerangka. Tahap selanjutnya adalah tahap partisipasi, di mana setiap golongan berkongsi agenda dan matlamat bersama-sama sebagai satu masyarakat. Nah, adakah ini yang kita hadapi di Malaysia ini?
Yang sebenarnya cuba dibawa bukanlah soal pluralistic society tetapi merupakan usaha menanam fahaman pluralisme agama yang sesat lagi salah. Di sini tampak pemalsuan dan pemutarbelit fakta dengan tujuan mengelirukan masyrakat umum. Justeru, sebagai seorang Muslim kita wajar berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnaya memakaikan makna-makna istilah kabur seperti ini untuk ditatap masyarakat kita. Sebagai seorang yang berilmu tanggungjawab kita berat. Kita bertanggungjawab kepada rujukan yang kita berikan kepada masyarakat.
Kesimpulannya, apabila MAIS pada tahun 2006 pernah mewartakan fahaman pluralisme agama ini menyeleweng dan pada Julai 2014 mewartakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi termasuklah Sisters In Islam (SIS) yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam adalah satu fatwa yang tepat dan benar. SIS sebelum ini terlibat dalam Interfaith Council (IFC) pada tahun 2000 bukanlah satu perkara tertutup lagi. Bahkan keterlibatan dalam COMANGO juga membuktikan perkara yang sama. Harusnya, bagi seorang Muslim yang berilmu tidak wajar kita mempertahankan fahaman pluralisme agama ini dan melihat institusi agama seperti MAIS sebagai institusi agama (kristian) di Eropah.
[i] Dilayar pada tarikh 8hb November 2014 http://www.themalaysianinsider.com/opinion/mujahid-yusof-rawa/article/islam-dan-pluralisme
[ii] Sebuah respon oleh Dr. Maza yang dikeluarkan di FB page beliau pada 5hb November 2014https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/10152893486567990
[iii] Diterbitkan oleh NST pada 5 nov 2014 http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/11/05/Understanding-liberalism-and-religious-pluralism/
[iv] Adnan Aslan, Religious Plurlaism in Christian and Islamic Philosophy: The Thought of John Hick and Seyyed Hossein Nasr (Richmond, Surrey: Curzon Press, 1998)
[v] Grose dan Hubbard, Tiga Agama Satu Tuhan, (Bandung: Mizan, 1999), hal. Xix
[vi] Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal (ATMA, 2006)
[vii] William R. Hutchison, Religious Pluralism in America, (New Haven: Yale University Press, 2003)
0 Komentar untuk "Respon kpd Dr Maza, Dr Mujahid, Dr Chandra.. Pluralism agama"