SHAH ALAM: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendapat kemenangan golongan mak nyah dalam menghapuskan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Syariah Negeri Sembilan satu lagi cubaan mencabar kesucian agama Islam.
Naib Presiden (II) ISMA, Fauzi Asmuni berkata golongan liberal seperti itu akan menggunakan pertembungan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sebagai rujukan kepada tuntutan mereka pada masa akan datang.
Apabila berlaku pertembungan antara enakmen mahkamah syariah dan keputusan mahkamah rayuan, jadi yang terpakai adalah keputusan Mahkamah Rayuan manakala keputusan Mahkamah Syariah akan terpinggir.
“Jika tidak dikawal dari awal, ia akan membawa kepada banyak penghapusan enakmen-enakmen khusus di dalam Mahkamah Syariah,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
Fauzi diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan peruntukan undang-undang syariah Negeri Sembilan yang melarang golongan mak nyah berpakaian wanita sebagai tidak sah.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hishamuddin Mohd Yunus berkata Enakmen Syariah tahun 1992 itu tidak sejajar dengan peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan dan kesamarataan manusia.
Beliau berkata peruntukan Seksyen 66 Enakmen Syariah Negeri Sembilan itu gagal mengiktiraf bahawa ada golongan lelaki yang mengalami ‘gender identity disorder’ yang dikaitkan dengan golongan transesksual ataupun lelaki yang mempunyai perwatakan wanita.
Keputusan itu lantas disambut aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) sebagai kemenangan dalam perjuangan golongan mak nyah yang mencari kesamarataan dan penerimaan pihak berkuasa Islam.
“Ia satu ancaman yang patutnya masyarakat perlu lebih sensitif dengan perkembangan ini. Mereka perlu berhati-hati dengan mengambil tindakan sewajarnya agar bidang kuasa Mahkamah Syariah kekal dan tidak mudah diperkotak-katik,” ulas Fauzi lagi.
Sementara itu Dekan Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Paduka Mahmud Zuhdi Abdul Majid menganggap keputusan Mahkamah Rayuan itu bukan suatu isu yang besar sama ada dari segi agama atau perundangan.
Tegasnya ia adalah selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.
“Bertentangan atau tidak, itu pilihan sendiri. Jika maknyah merasakan apa yang dibuat itu tidak bertentangan, maka itu pilihan mereka. Jika mereka tidak mahu ikut para ulama dan cerdik pandai di dalam agama dan mahu buat apa yang mereka nak, tiada masalah.
“Golongan ulama hanya nak membantu mereka untuk lepas dari dosa, ia tidak menjejaskan kepentingan para ulama dan pengamal undang-undang Islam. Mereka hanya nak tolong,” katanya kepada portal ini.
Meskipun perkara itu boleh dibawa kepada proses perundangan yang selanjutnya, Mahmud bagaimanapun menggesa masyarakat negara ini tidak mudah melenting dengan perkara berkenaan.
“Tidak perlu sampai kita berbantah, berperang antara pihak agama dengan golongan mak nyah. Masing-masing ada pendirian sendiri, masing-masing boleh pilih syurga dan neraka kerana ia tidak boleh dipaksa sebab masing-masing ada jalan syurga atau neraka… Belum tentu siapa yang betul atau salah, atau ia atas ijtihad masing-masing di dunia,” katanya.
Enakmen Syariah berhubung dengan aktiviti mak nyah di Negeri Sembilan adalah mirip dengan undang-undang syariah negeri lain di semenanjung.
Rentetan keputusan mahkamah itu, Justice for Sisters (JFS) menyeru golongan mak nyah di negara ini untuk mencabar enakmen sama di negeri-negeri lain.
Adalah dijangkakan Malaysia mempunyai 60,000 mak nyah dengan kaum Melayu merangkumi 70% daripada mereka – Antarapos
0 Komentar untuk "ISMA : Kemenangan Golongan Transgender Jadi Ancaman Islam Di Malaysia"