Datuk Hattan, Ramli MS puas hati - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Datuk Hattan, Ramli MS puas hati

SELAKU pengetua AF2014, Datuk Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 49, memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi selepas program tersebut berakhir.

"Akhirnya terlepas segala beban yang saya pikul selama program ini berlangsung.

"Saya sangat bersyukur ianya berakhir dengan lancar seperti yang dirancang," ujarnya ketika ditemui di 'post party' AF2014.

Ditanya mengenai kemenangan Firman malam itu, beliau juga tidak menjangka gelaran juara itu berpihak kepada pelajar kelahiran Sabah ini.

"Saya tidak fikir siapa yang menang atau kalah malam ini. Sebaliknya, setiap peserta memberikan yang terbaik untuk konsert akhir ini.

"Bagi saya, semuanya pemenang dan tiada yang 'pengalah' (kalah)," tegasnya.

Beliau turut memuji komitmen pelajar yang mematuhi syaratnya agar tiada lagu Seberang dinyanyikan sepanjang program ini berlangsung.

Dalam pada itu, ketua Juri, Datuk Ramli MS, turut berpuas hati serta memuji persembahan kesemua pelajar pada malam itu.

“Biarpun ada sedikit kesilapan yang berlaku namun mereka telah mencuba sedaya upaya untuk konsert final itu. Saya yakin dengan ilmu yang sepanjang berada di akademi ini, mereka mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Malah dua lagi juri, Raja Azura dan Amy Search, turut berkongsi pendapat yang sama.

Dihoskan  Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Muse, Final Af2014, menyaksikan turut pelajar yang berasal daripada Melaka,  Mohd Razman Abd Aziz atau lebih popular dikenali sebagai Aman, menyandang gelaran naib juara.  

Membawakan dua buah lagu berjudul Mewangi (Akim Ahmad) dan Without You ciptaan sepenuhnya oleh Awi Rafael, Aman berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 berserta sebuah kereta Perodua Myvi, pakej percutian ke Osaka Jepun dan trofi.

Tempat ketiga pula disandang Ikhwal Hafiz Ismail, 22, (Ewal) yang membawakan lagu Matahari (Hafiz Suip) dan Kembalikan Semula ciptaan DJ Fuzz dan lirik, Adeep Nahar.

Sementara itu, Syamila Nuhair Zainordi, 21, atau Nuha, mendendangkan lagu ciptaannya sendiri, Pertama Kali dan Beribu Sesalan, terpaksa berpuas hati dengan kedudukannya di tempat keempat. Selain memenangi wang tunai RM15,000, dia juga dipilih sebagai penerima anugerah khas D’Herbs yang melayakkannya menerima lagi wang tunai berjumlah RM10,000.

Nasib kurang menyebelahi pelajar yang diserap masuk, Adeline Joyce Masidah atau Adel, 21, yang hanya mampu meraih tempat kelima, meskipun persembahannya cukup memukau menerusi lagu I Have Nothing dan Hati ciptaan Kuncidemak.

Selain persembahan mantap kesemua pelajar, malam kemuncak AF2014 turut dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu.

AF kembali tahun depan

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan lagi program realiti ini, berdasarkan peratusan penonton AF2013 dan AF2014 yang semakin meningkat. Malah katanya, maklum balas yang diterima menerusi undian SMS juga amat menggalakkan berbanding tahun lalu.

"Matlamat utama kami adalah untuk melahirkan bintang berbakat besar ke dalam industri seni tanah air.

"Ternyata usaha Astro membuahkan hasil apabila ramai artis popular seperti Hafiz, Stacy, Hazama, Akim, dan ramai lagi lahir daripada Akademi Fantasia," katanya.

Tambahnya, setiap pemilihan peserta akan dinilai berdasarkan kriteria tertentu bagi melahirkan bintang yang benar-benar berbakat.
0 Komentar untuk "Datuk Hattan, Ramli MS puas hati"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI