PAS sedia bincang isu ‘ponteng’ Hadi secara ‘direct’ dengan DAP - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PAS sedia bincang isu ‘ponteng’ Hadi secara ‘direct’ dengan DAP

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini menyatakan kesediaannya mengadakan perbincangan berhubung isu ketidakhadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke mesyuarat Pakatan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2014. 

Selepas isu ketidakhadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menjadi hangat dengan PAS dan DAP masing-masing berbalas kenyataan, Datuk Mustafa Ali hari ini menyatakan kesediaannya mengadakan perbincangan secara empat mata dengan Anthony Loke, berhubung perkara itu.

Setiausaha Agung PAS itu memberitahu Harakahdaily, beliau tidak berminat memanjangkan polemik isu itu secara terbuka kerana ia tidak mendatangkan kebaikan kepada PR.

"Tidak jadi masalah kepada saya bincang secara 'direct' dengan beliau (Loke) dan mana-mana pimpinan DAP yang lain sebagaimana berlaku sebelum ini, sama ada soal dalaman parti atau antara parti, untuk kebaikan PR," beliau dipetik berkata.

"Ia membabitkan soal dalaman parti dan antara parti," katanya sambil menambah kenyataan balas setiausaha organisasi DAP itu semalam "lari dari premis asal."
Mustafa berkata, Loke bukan sahaja mengubah premis asal tetapi juga membuka kepada satu dimensi baharu yang menjurus kepada soal dalaman parti dan antara parti.

"Malah, beliau (Loke) membuat olahan tentang PAS secara tidak berhemat dan tidak tepat," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam, Loke melahirkan kekesalan dengan pendirian Mustafa yang mengatakan isu ketidakhadiran Hadi ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR ialah perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan.

Beliau berkata, jika begitu pendirian PAS, PR tidak akan maju.

"Pimpinan pusat DAP amat kecewa dengan sikap dan pandangan tersebut kerana ia bukannya isu remeh tetapi melibatkan soal kesinambungan dan 'survival' politik PR," kata Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, sejak 2008 hingga kini, PR sudah berpuluh kali mengadakan mesyuarat yang kadang kala tidak dihadiri Hadi dan juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam masa sama, katanya, pelbagai keputusan dibuat dan segalanya berjalan dengan baik tanpa menjejaskan perjalanan PR.

"Tetapi kenapa soal ketidakhadiran ini dibangkit dan diperbesarkan sekarang?" soalnya.

Pada Rabu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan PR bakal menyusun semula jadual pertemuan selaras dengan jadual Hadi agar presiden PAS itu dapat hadir ke mesyuarat PR.

Hadi sebelum ini dilaporkan kerap tidak hadir dalam mesyuarat PR dan menghantar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Mustafa.

Anwar bagaimanapun menafikan ketidakhadiran Hadi disengajakan tetapi tidak menolak ia merupakan situasi yang amat jarang berlaku.

Sehari sebelum itu, pada satu majlis makan malam di Petaling Jaya, Lim dalam ucapannya meminta Hadi menghadiri mesyuarat pimpinan PR.

Setiausaha agung DAP itu mengkritik sistem dalaman PAS di mana presiden parti mempunyai kuasa veto membuat segala keputusan walaupun beliau tidak hadir semasa mesyuarat PR membincangkan sesuatu perkara.

"Kalau begitu sistemnya, beliau (Hadi) mesti hadir mesyuarat majlis pimpinan PR supaya kita boleh buat keputusan, berpegang pada janji dan memenuhi komitmen kita.

"Selagi beliau menjauhkan diri daripada mesyuarat majlis pimpinan PR, susahlah bagi PR untuk berfungsi secara keseluruhannya," kata Lim. – 7 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tidak-mahu-polemik-mustafa-sedia-bincang-isu-ponteng-mesyuarat-direct-denga#sthash.VgYTmtsf.dpuf
0 Komentar untuk "PAS sedia bincang isu ‘ponteng’ Hadi secara ‘direct’ dengan DAP"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI