Nik Nazmi mahu saman Peguam Negara kerana dakwaan berulang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Nik Nazmi mahu saman Peguam Negara kerana dakwaan berulang

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini menolak rayuan yang dibuat oleh pendakwaraya terhadap pembebasan Nik Nazmi sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2014.

Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dibebaskan oleh mahkamah – buat kali keempat – dari dakwaan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012, dan akan menyaman Peguam Negara kerana "dakwaan berniat jahat".

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini menolak rayuan yang dibuat oleh pendakwaraya terhadap pembebasan Nik Nazmi sebelum ini.

Adun Seri Setia dan juga Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata, peguamnya akan memfailkan saman sivil terhadap Peguam Negara kerana mengulangi pendakwaan dengan berkata tindakan pendakwaan semula kesalahan yang sama perlu dihentikan.

Undang-undang digunakan mendakwa Nik Nazmi juga diisytiharkan Mahkamah Rayuan tidak mengikut perlembagaan pada 25 April.
Nik Nazmi, 32, pertama kali didakwa pada 17 Mei, 2013, kerana melanggar akta itu dengan tidak memberi notis 10 hari kepada pihak polis sebelum menganjurkan perhimpunan "Blackout 505" pada 8 Mei tahun lepas. Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keputusan pilihan raya umum 2013.

Dia gagal dalam usahanya memohon Mahkamah Tinggi membatalkan pertuduhan terhadapnya atas alasan yang Seksyen 9(1) dan 9(5) tidak berperlembagaan.

Pada April, Mahkamah Rayuan memutuskan menjadi satu kesalahan mengisytiharkan satu perhimpunan yang memang sah sebagai menyalahi undang-undang, dan adalah melanggar perlembagaan menyekat hak bagi kebebasan berhimpun dan berpersatuan.

Panel tiga hakim juga membebaskan Nik Nazmi dari tuduhan itu, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan kemungkinan hilang kelayakan memegang jawatan awam sekiranya disabitkan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara mendakwanya buat kali kedua atas kesalahan yang sama pada Mei, tetapi ia ditolak Mahkamah Sesyen.

Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata, mahkamah yang lebih tinggi mengeluarkan perintah yang tidak boleh diubah atau dikaji semula mahkamah yang lebih rendah.

Bercakap di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata peguamnya akan meneruskan saman sivil terhadap Peguam Negara selepas dia didakwa kali ketiga dengan kesalahan sama.

Beliau berkata tindakan tersebut bukan demi kepentingan peribadi, tetapi bagi menunjukkan pihak pendakwaan salah dalam cubaannya mendakwa semula seseorang atas kesalahan yang sama.

Bekas Timbalan Speaker Selangor itu berkata, tindakan pendakwaan terhadapnya menunjukkan jabatan itu didorong politik.

Peguam Nik Nazmi, Eric Paulsen, menyifatkan tindakan Peguam Negara sebagai "pendakwaan berniat jahat".

Seorang lagi peguamnya, N. Surendran, kemudian menulis di Twitter yang anak guamnya "mungkin mencipta sejarah sebagai orang paling banyak dibebaskan bagi tuduhan sama". – 7 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-nazmi-mahu-dakwa-peguam-negara-kerana-dakwaan-berulang#sthash.GA4kx9hS.dpuf
0 Komentar untuk "Nik Nazmi mahu saman Peguam Negara kerana dakwaan berulang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI