Bikin karya sendiri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bikin karya sendiri

Jika tiada tawaran yang boleh diterima, Umie 
mungkin tampil dengan karyanya sendiri


 Tidak dinafikan bakat yang dimiliki oleh pelakon, Umie Aida sememangnya hebat apatah lagi berjaya menggondol anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26, baru-baru ini.

Sebelum ini pada FFM ke-15, Umie meraih anugerah Aktres Terbaik dan kini dia membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik hasil lakonannya dalam filem Sembunyi: Amukan Azazil.
Lama juga rasanya tidak melihat kehadiran pelakon jelita ini di layar perak mahupun di kaca televisyen.

Bertemu dengan wanita yang juga isteri kepada Datuk Paduka Khairuddin Hassan, dia kini masih lagi berada dalam fasa untuk merehatkan dirinya lagi.
“Bukan saya tidak mahu berlakon, rasa hendak berlakon itu ada tetapi buat masa ini, saya rasa belum puas untuk saya merehatkan diri saya,” jelasnya.
Ditambah pula dengan imej baharu wanita itu yang kini tampil berhijab, jelas Umie, personalitinya kini bukan sebab dia mahu mengundurkan diri daripada lakonan.
“Buat masa ini saya masih lagi mahu berehat sebenarnya dan watak-watak yang saya terima pun saya akan pilih yang bersesuaian dengan saya.

“Dari segi watak, jika tawaran watak yang diberi itu benar-benar mencabar saya, baru saya pertimbangkan untuk terima,” jelasnya.
Tambah Umie lagi, dengan personalitinya yang berhijab kini, dia juga perlu memastikan watak yang diberikan itu relevan dengan imejnya.
“Saya mahu lakonan saya itu semula jadi, sebab dalam lakonan kita kena jujur dengan watak yang dibawakan.
“Tetapi, ia agak sukar bila ada watak yang memerlukan saya berperanan sebagai isteri, atau ibu kerana sudah pasti ada babak-babak bersentuhan atau berpelukan.
“Adegan-adegan seperti ini kalau boleh saya mahu elakkan sebab itu kalau ada tawaran yang memerlukan saya melakonkan adegan itu, saya akan tolak,” jelasnya.
Tambahnya, dia sedaya upaya mahu mengelak sebarang tawaran lakonan yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wanita berhijab.
Satu yang menarik tentang Umie Aida ialah bagaimana dia boleh mengekalkan bentuk tubuh badan dengan begitu sihat sekali.

Tidak mengamalkan sebarang diet pemakanan, jelas Umie, dia mengamalkan disiplin latihan yang sangat ketat untuk dirinya.
“Saya tidak pernah mengamalkan sebarang diet. Saya makan sahaja apa yang saya mahu asalkan latihan fizikal saya kekalkan.
“Rasanya dah dua tahun saya betul-betul konsisten dengan aktiviti senaman untuk kekalkan bentuk badan dan stamina,” jelasnya.
Ditanya tentang aktiviti senaman yang dilakukannya, jelas Umie, kebiasaannya dia akan melakukan aktiviti seperti berlari, berbasikal ataupun bermain badminton.
“Selalunya saya akan lakukan aktiviti dalam dua ke tiga kali seminggu bergantung kepada kelapangan masa, tetapi ia adalah satu kemestian,” jelasnya.
Tambah Umie lagi, hanya satu ketika yang dia akan lupakan seketika tentang sesi senamannya iaitu bila melibatkan waktu cutinya.
“Kalau saya sedang bercuti dengan ahli keluarga, memang saya akan lupakan seketika senaman dan makan apa sahaja yang saya mahu. Tetapi bila dah balik nanti, makin kerap dan berat senaman yang akan dilakukan,” katanya tertawa.

Bukan mudah untuk mengambil seorang wanita berhijab berlakon kerana naskhah yang dipertaruhkan oleh pengkarya seharusnya bersifat bebas.
Bebas itu merujuk kepada campur tangan daripada pihak lain yang boleh menyebabkan kehendak watak itu lari daripada kehendak asalnya.
Sedar tentang perkara itu, jelas Umie dia sesekali tidak mahu sikapnya itu menyusahkan pihak produksi.
“Saya tahu bukan mudah untuk buang babak-babak yang sepatutnya dilakukan hanya kerana saya yang tidak mahu lakukan adegan itu.
“Sebabnya dalam berkarya itu kita harus bebas dan sekatan itu ada kalanya boleh mengganggu naskhah yang mahu dipertontonkan,” jelasnya.
Jelas Umie, itu yang dia terpaksa menolak beberapa tawaran dan sekiranya dia betul-betul rindu untuk berlakon, mungkin dia akan hasilkan karya sendiri.
“Kalau saya terlalu memilih sangat, mungkin saya akan buat sendiri kalau tidak mahu menyusahkan mana-mana produksi,” jelasnya tertawa.
Ditanya watak idamannya buat masa ini, jelas Umie, dia mahu membawa watak seorang wanita bisu yang mempunyai anak dan berstatus ibu tunggal.

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/2.774/bikin-karya-sendiri-1.21855#sthash.BEkkCwQg.dpuf
0 Komentar untuk "Bikin karya sendiri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI