Azmin memihak Kristian jika pulangkan Bible, kata Perkasa, Isma - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Azmin memihak Kristian jika pulangkan Bible, kata Perkasa, Isma

Isnin lalu, Azmin memberitahu majlis makan malam DAP Bible itu milik Kristian dan perlu dipulangkan kepada mereka dan umat Islam perlu menghormatinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2014.

Usaha Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengembalikan Bible Bahasa Melayu dan Iban kepada Kristian satu ancaman kepada Islam dan akan menyebabkan rasa tidak senang orang Islam di negeri itu, kata badan pendesak Melayu.

Mereka mendesak timbalan presiden PKR itu berhenti dari memihak kepada Kristian dan mempertahankan agama Islam dengan berkata Azmin perlu mematuhi kepercayaan agamanya.

“Tindakan yang dibuat Azmin ini sudah pasti menggugat masa depan anak Melayu beragama Islam. Maknanya agama Islam tergugat," kata Ketua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya kepada The Malaysian Insider.

“Memang jadi satu ancaman hebat apabila pemimpin Melayu yang mengatakan dirinya beragama Islam hendak memulangkan balik Bible tersebut,” katanya.
The Malaysian Insider melaporkan 321 Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas kerana mengandungi kalimah Allah itu akan dipulangkan dalam tempoh seminggu, 10 bulan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampasnya dari pejabat Persatuan Bible Malaysia.

Isnin lalu, Azmin memberitahu majlis makan malam DAP Bible itu milik Kristian dan perlu dipulangkan kepada mereka dan umat Islam perlu menghormatinya.

Azmin awal minggu ini membangkitkan isu rampasan Bible dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang turut dihadiri mufti dan pihak berkuasa agama negeri itu.

Beliau dijadualkan mengadap Sultan Selangor pada Selasa dan antara perkara yang dijangka akan dibincangkan adalah rampasan kitab suci berkenaan, menurut sumber itu.

“Perkasa Selangor amat tidak selesa dengan tindakan satu menteri besar yang berbangsa Melayu, beragama Islam cuba menidakkan kuasa Mais dan Jais berhubung agama Islam," kata Abu Bakar.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaid Abd Rahman pula memberitahu The Malaysian Insider, sebagai pemimpin Islam, Azmin perlu mematuhi kehendak Islam.

“Dia bercakap begitu seolah-olah dia memihak kepada Kristian dan membelakangkan undang-undang.

“Kita harapkan seorang pemimpin Islam mestilah bercakap berlandaskan Islam. Dia perlu tegas menunjukkan dia melaksanakan undang-undang,” katanya.

Abdullah Zaik berkata Azmin masih di peringkat pemerhatian dan beliau perlu membuktikan kepimpinannya yang sebenar selepas lebih sebulan menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, menjadi harapan Isma agar Azmin berpihak kepada Islam dan mengelak mencetuskan rasa tidak puas hati umat Islam di Selangor.

“Beliau sebagai MB tidak munasabah cakap begitu. Dia sepatutnya mendalami undang-undang, beliau pun orang Islam. Tugas utamanya menegakkan hukum.

“Kalau tidak baca (undang-undang), cakap sikit sudahlah. Bila cakap panjang, nampak kelemahannya. Beliau masih diperhati jadi perlu tunjuk arah beliau hendak tuju atau gaya pentadbiran yang bagaimana.

“Beliau sendiri cari masalah dalam polisinya. Beliau akan berdepan dengan masalah dari rakyatnya sendiri. Orang Islam secara khususnya. Saya masih harap dia memihak kepada Islam,” katanya.

Abu Bakar menafikan Perkasa mahu mencetuskan permusuhan dengan kaum lain, sekadar bersuara atas kerangka Perlembagaan.

Katanya, apa yang dilakukan Mais dan Jais bertujuan melindungi umat Islam di Selangor, terutamanya generasi muda agar tidak terkeliru dengan penerbitan kitab sedemikian.

“Yang penting tidak boleh ada kalimah Allah itu saja, sebab Bible boleh dianggap menghasut, berdakwah kepada orang Melayu beragama Islam terutama generasi muda. Itu makanya dirampas.

“Bible yang disalin semula (mengandungi kalimah Allah) boleh merosakkan akidah anak Melayu muda Islam, ia satu ancaman. Pihak berkuasa agama Selangor berhak mengambil tindakan.

“Kita sebenarnya tidak membenci agama dan bangsa lain kerana yang pentingnya ada kerjasama. Tetapi Perlembagaan kata agama lain boleh diamalkan tetapi tidak boleh berdakwah,” katanya.

Beliau berkata apabila Azmin menyatakan hasrat untuk mengembalikan kitab berkenaan, ia seakan ada kepincangan sama ada di pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama.

Katanya, penguatkuasaan agama Islam di Selangor tidak seharusnya dilibatkan dalam politik kerana ia akan menambahkan kecelaruan.

“Bila Mais dan Jais rampas tiba-tiba kerajaan negeri hendak serahkan balik, Azmin sebagai MB, maknanya kepincangan berlaku. Tidak tahulah kepincangan dari sudut MB atau Mais.

“Perkasa tekankan jangan libatkan agama dan politik, bila dilibatkan inilah implikasinya. Maknanya memberi laluan dan kelonggaran agama lain untuk berdakwah dalam negara ini. Kalau tidak mengapa Mais rampas Bible itu?

“Saya yakin Mais buat tindakan berlandaskan undang-undang. Bukan boleh sesuka hati,” katanya.

Ketika ditanya kesediaan Perkasa untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran jika Azmin memulangkan kitab tersebut, Abu Bakar berkata: “Kita tengok dulu, mungkin dia cakap tetapi taidk lakukan. Kalau dilakukan kita tengok situasi semasa.” – 7 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/azmin-pihak-ke-kristian-jika-pulangkan-bible-kata-ngo-melayu#sthash.yGgqpJJU.dpuf
0 Komentar untuk "Azmin memihak Kristian jika pulangkan Bible, kata Perkasa, Isma "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI