Khabir Bhatia pertaruh Dollah Superstar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Khabir Bhatia pertaruh Dollah Superstar

SETELAH sebelum ini tampil dengan filem-filem bercorak romantik seperti ‘Cinta’, ‘Sepi’, ‘Love’, dan ‘Nur Kasih’, pengarah versatil, Kabir Bhatia kini tampil dengan sebuah filem aksi komedi, ‘Dollah Superstar’.

‘Dollah Superstar’ memaparkan kisah Dollah Rimau yang menyimpan angan-angan untuk menjadi pelakon terkenal. Peluang keemasannya tiba apabila seorang pelakon metro seksual terkenal memintanya menjadi ‘sifu’ untuk sebuah filem aksi.

Penglibatan dan campur tangan Dollah dalam pembikinan filem tersebut mengikut kepalanya sahaja membuatkan set penggambaran menjadi haru-biru.

Namun setelah penggambaran terhenti kerana masalah kewangan, Dollah nekad memperbetulkan keadaan dengan satu-satunya cara yang dia pakar –cara gangster.

Menelan kos sebanyak RM1.5 juta ini, filem aksi komedi kedua Kabir selepas ‘Setem’ ini telah menghimpunkan banyak nama-nama popular seperti Awie, Sharnaaz Ahmad, Fizz Fairuz, Neelofa, Isma Aizal Yusof, Aziz M. Osman, Lan Pet Pet, Datin Paduka Umie Aida, Aisya Hasnaa serta ramai lagi.


Ikuti temu bual lanjut bersama Khabir mengenai filem terbarunya ini.


Filem anda kali ini menampilkan dunia artis dan pembikinan filem. Adakah ini merujuk kepada senario sebenar dunia selebriti?

Oh, tidak sama sekali. Skrip filem ini ditulis oleh saudara Alfie Palermo dan penghasilan filem ini adalah untuk hiburan semata-mata. Begitu juga dengan setiap watak di dalam filem ini, yang dicipta untuk filem ini dan bukan memerli mana-mana artis. Ia bukan untuk menonjolkan dunia selebriti secara amnya.

Dunia gengster dilihat sering kali menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk diselitkan di dalam karya terbaru mereka, boleh anda jelaskan mengapa anda memilih dunia gengster sebagai sebahagian daripada jalan cerita filem ini?

Sejujurnya filem ini bukanlah mengisahkan seorang gengster semata-mata kerana banyak elemen-elemen lain juga diterapkan dalam filem ini supaya ia menjadi bahan hiburan untuk penonton kelak.

Saya boleh kata filem ini saya mendapat inspirasi daripada sebuah filem yang berjudul 'Munnabhai' jika sesiapa yang tahu dan pernah menontonnya. Malah elemen gengster itu juga tidak mewarnai keseluruhan jalan cerita ini dan Dollah Superstar berbeza dengan filem-filem gengster sebelum ini. ..


Apakah keistimewaan lain untuk filem Dollah Superstar?

Dollah Superstar lebih menjuruskan teknik penceritaan saya ke satu perspektif baru dalam usaha saya untuk memastikan agar karya saya ini tetap menghiburkan dan diterima baik oleh peminat filem.


Anda sanggup menunggu sehingga lapan bulan untuk mendapatkan Awie, mengapa Awie menjadi pilihan utama anda?

Saya tidak dapat bayangkan orang lain memegang peranan tersebut dan sebab itulah saya sanggup menunggu jadualnya kosong sebelum memulakan penggambaran. Ia penantian berbaloi kerana pertama kali saya bekerjasama dengan Awie, saya sangat bangga terhadap komitmennya dalam menjayakan watak sebagai Dollah. Awie seorang yang sangat menyenangkan.


Filem ini juga menyaksikan ramai 'cameo' seperti Faisal Ishak, Bront Palarae, Beto Kusyairy, Wan Raja, Afida Es, Nadia Nissa, Johan Asari, mengapa anda terfikir untuk membawa ramai pelakon dalam filem kali ini?

Pertamanya adalah kerana suntikan dan kelainan dalam filem ini. Kedua, ia tentunya sebagai satu tarikan kepada penonton. Malah saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama baik daripada ramai artis yang ingin sama-sama menjayakan filem ini.


Akhir sekali, boleh anda kongsikan cabaran utama dalam mengarahkan filem ini?

Seperti yang anda sedia maklum, filem ini menyatukan ramai artis terkenal dalam satu masa, jadi usaha untuk menyatukan mereka di dalam satu jadual penggambaran bukanlah satu tugas mudah kerana jadual masing-masing yang padat dan sering berubah-ubah.  

Lebih mencabar lagi apabila satu-satunya masa yang dapat menggabungkan mereka hanyalah pada bulan Ramadhan di mana untuk memberi motivasi dan menjaga mood para pelakon serta krew yang ramai seperti ini sangat penting tetapi memerlukan banyak kesabaran termasuk dari saya sendiri.

Saya juga memperoleh bonus apabila dapat merakamkan beberapa babak original dan spontan mereka. Saya harus katakan yang ianya adalah satu penggambaran yang paling hebat dan menyeronokkan pernah saya arahkan.
0 Komentar untuk "Khabir Bhatia pertaruh Dollah Superstar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI