Aziz Bari pilih tidak jawab soalan polis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Aziz Bari pilih tidak jawab soalan polis

Dr Abdul Aziz Bari merupakan ahli akademik kedua disiasat polis selepas pendakwaan ke atas pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom, bulan lepas. – Gambar The Malaysian Insider, 1 Oktober, 2014.

Pensyarah Universiti Selangor, Dr Abdul Aziz Bari memilih mendiamkan diri daripada menjawab polis ketika disoalsiasat selama satu setengah jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pagi tadi.

Pakar perlembagaan yang disiasat di bawah Akta Hasutan kerana dituduh menghina Sultan Selangor itu tiba di balai polis berkenaan jam 11 pagi ditemani peguamnya Afiq M Noor dan seorang lagi peguam, Dr Dheeraj Bar.

"Beliau tidak menjawab sebarang soalan polis, berdasarkan Seksyen 112," kata Afiq, merujuk kepada Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan seseorang tidak menjawab soalan sekiranya merasakan soalan itu mempunyai niat mendedahkan dirinya kepada dakwaan jenayah.



"Dia pilih untuk tidak menjawab sebarang soalan supaya tidak memerangkap dirinya sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.
Afiq mengesahkan polis menyiasat Aziz mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Siasatan polis berkisar kenyataan Aziz di dua forum seperti dilaporkan The Malaysian Insider, susulan lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.

Artikel berkenaan, "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari" disiarkan pada 1 September dan "Only God, not Sultan, has absolute power, says legal expert," disiarkan pada 9 September lalu.

Isnin lalu, dua wartawan The Malaysian Insider turut diminta memberi keterangan kepada polis berhubung artikel tersebut.

Dalam artikel pertama, Aziz berkata Sultan terikat dengan Deklarasi Prinsip Perlembagaan 1992, yang menggariskan panduan kepada pemerintah, termasuk menjelaskan peranan Raja-Raja dalam politik.

Artikel kedua berdasarkan ucapannya di forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) pada 8 September, di mana beliau dipetik sebagai berkata mengikut perlembagaan, kuasa budi bicara Sultan dalam melantik MB hanya terpakai dalam kes Parlimen tergantung.

Aziz berkata ia tidak sepatutnya digunapakai dalam krisis Selangor apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sekiranya didakwa, Aziz adalah ahli akademik kedua selepas Profesor Madya Dr Azmi Sharom dari Universiti Malaya.

Beliau bakal berdepan tiga tahun penjara atau didenda tidak kurang daripada RM5,000.

Pada 2 September, Azmi didakwa berhubung kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah portal berita, mengenai krisis perlembagaan Perak 2009.

Siasatan terhadap Aziz merupakan yang terbaru selain pemimpin pembangkang, aktivis sosial, peguam dan wartawan.

Awal bulan ini, aktivis Muhammad Safwan Anang dan Adam Adli Abd Halim dipenjara selama 10 dan 12 bulan kerana kenyataan mereka pada satu forum 13 Mei tahun lalu, menggesa rakyat turun ke jalanan membantah keputusan pilihan raya umum lalu.

Aktivis Ali Abd Jalil juga dikenakan tiga pertuduhan kerana menghina Sultan Johor dan Selangor dalam laman Facebooknya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dipanggil untuk merekodkan kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 2011 apabila mendakwa dia memberi kenyataan hasutan berhubung kes liwatnya.

Selain itu, peguam Edmund Bon, bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor, Wan Ji Wan Hussin, dan wartawan Malaysiakini, Susan Loone serta beberapa lagi pemimpin PR turut berdepan dengan tuduhan sama. – 1 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/aziz-bari-pilih-tidak-jawab-soalan-polis#sthash.fP5XWuyh.dpuf
0 Komentar untuk "Aziz Bari pilih tidak jawab soalan polis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI