Kerajaan 'Konsensus Nasional' negeri Selangor - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kerajaan 'Konsensus Nasional' negeri Selangor

MELIHAT kepada kemelut politik negeri Selangor yang berlarutan lebih setahun sejak PRU13 lalu, saya secara peribadi mencadangkan supaya sebuah kerajaan yang berkonsepkan 'Konsensus Nasional' dibentuk di negeri Selangor.

Konsep pembentukan kerajaan berasaskan 'Konsensus Nasional' pernah diuar-uarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, malah pernah juga disuarakan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan istilah 'Rekonsilasi Nasional'. Perkara ini juga menjadi intipati penting kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan untuk mengekal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, atas asas kepentingan (maslahah) rakyat perlu didahulukan daripada kepentingan individu dan parti.

Semangat 'Konsensus Nasional' ini perlu dihidupkan semula demi mengelakkan kemelut politik negeri Selangor yang berpanjangan sehingga turut boleh menjejaskan rakyat Selangor dan negara Malaysia secara keseluruhannya.

Kemelut politik di negeri Selangor sepatutnya tidak timbul sekiranya pimpinan-pimpinan mengambil sikap mendahulukan kepentingan rakyat seperti penyelesaian krisis air yang merupakan keperluan asasi manusia, pembasmian salah guna kuasa, penurunan kos hidup rakyat, penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan infrastruktur, memerangi jenayah, pencegahan demam denggi dan lain-lain lagi isu berkaitan kepentingan rakyat.

Malangnya terdapat segelintir pimpinan-pimpinan politik lebih suka berpolemik dan berpolitik demi mengutamakan kepentingan individu dan parti.

Kemelut politik ini menyebabkan sebahagian besar rakyat negeri Selangor mulai bosan, malah meluat dengan karenah pimpinan-pimpinan politik. Sepatutnya kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dan kemudian diperkenankan oleh Duli Yang Mulia Sultan Selangor, diberi peluang yang saksama untuk menjalankan tanggungjawab mereka demi menjaga kepentingan rakyat seluruhnya.

Pimpinan-pimpinan politik mempunyai peluang setiap lima tahun sekali untuk menukar kerajaan seterusnya menukar individu-individu yang memimpin sesebuah kerajaan. Sistem penukaran kerajaan dan pemimpin berdasar semangat demokrasi seperti ini akan mewujudkan politik yang harmoni dan stabil.

Sehubungan dengan itu bagi menangani kemelut politik negeri Selangor yang berpanjangan, adalah dicadangkan sebuah kerajaan yang berkonsepkan 'Konsensus Nasional' diwujudkan.

Pengwujudan kerajaan tersebut ialah dengan mengekalkan MB sebagai Adun Bebas dan barisan exco yang sedia ada, menjadikan BN sebagai pembangkang yang mesra kerajaan dan menubuhkan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan seluruh parti sama ada dari PR, BN atau Adun Bebas untuk menjayakan 'Konsensus Nasional' tersebut.

Pengekalan MB dan barisan exco yang ada sekarang merupakan salah satu elemen penting kerana mereka telah merancang program-program jangka panjang dan jangka pendek sehingga PRU14 akan datang untuk kepentingan rakyat Selangor.

Sekiranya penukaran berlaku, maka ia akan membantut perancangan-perancangan tersebut, sekaligus menjejaskan usaha-usaha yang telah dirancang oleh kerajaan untuk rakyat.

Selain daripada itu, penukaran tampuk pimpinan kerajaan negeri Selangor akan menjejaskan kestabilan politik negeri seperti yang berlaku sekarang, sehingga merencatkan usaha menarik pelabur-pelabur ke Selangor dan Malaysia umumnya.

Demi menjayakan 'Konsensus Nasional' peringkat negeri Selangor, pihak pembangkang (BN) boleh diberi tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri khususnya menjadi kuasa semak dan imbang yang diiktiraf, sebagai contoh seorang Adun dari BN dilantik untuk mengetuai jawatankuasa Selcat. Konsensus ini diperkukuhkan dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti-parti dari PR, BN dan Adun Bebas. Dalam konteks ini Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilantik sebagai pengerusi atau penasihat sebagai pengiktirafan kepada usaha 'Konsensus Nasional' yang diusahakan beliau sebelum ini.

Secara peribadi, saya melihat inilah penyelesaian terbaik kepada kemelut politik negeri Selangor yang memuaskan hati semua pihak. Penyelesaian ini juga dapat mengelakkan daripada pilihanraya semula yang akan mengorbankan sejumlah dana awam yang banyak, menangani ketidakstabilan politik disebabkan kekaburan siapakah yang mendapat sokongan majoriti, memberi ruang kepada semua pihak berkaitan seperti pihak kerajaan tempatan, kakitangan-kakitangan kerajaan, pimpinan-pimpinan komuniti melaksanakan tugas mereka dan yang lebih utama kepentingan rakyat akan terpelihara.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat
0 Komentar untuk "Kerajaan 'Konsensus Nasional' negeri Selangor"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI