SHAH ALAM – Tiada pertikaian antara urusan kerajaan negeri dengan parti sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan seorang ketua parti.

Menurut Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan, persoalan parti bersetuju atau tidak dengan keputusan kerajaan negeri juga tidak akan timbul.

“Satu urusan parti dan satu lagi urusan kerajaan negeri. Jadi, dua perkara yang berbeza. Tapi tidak jadi persoalan sekiranya ketua kerajaan itu juga merupakan ahli tertinggi parti atau ketua parti.

“Misalnya Wan Azizah (Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah) menjadi menteri besar, persoalan parti bersetuju atau tidak bersetuju tidak timbul kerana ketua parti yang memerintah,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Jelasnya, Abdul Khalid tidak memegang jawatan yang tinggi dalam parti, oleh itu beliau perlu menuruti kehendak parti.

“Sekarang ini, bukan ketua parti, Abdul Khalid itu bukan ketua. Beliau hanya orang bawahan (parti). Beliau tiada kedudukan yang tinggi, jadi, beliau mahu memerintah dengan cara tersendiri tanpa merujuk kepada parti

“Tapi parti mengatakan anda mesti rujuk kepada kita kerana anda wakil kita. Itu masalahnya. Kerana beliau bukan nombor satu dalam parti,” katanya.

Katanya, meskipun parti tidak senang dengan tindakan menteri besar, parti tidak boleh memaksa menteri besar kerana jawatannya itu sah.

“Kalau misalnya, ketua dari BN menjadi Perdana Menteri,  tak timbul soal pengasingan dari segi pentadbiran parti dengan pentadbiran kerajaan kerana orang yang memegang jawatan itu adalah orang yang sama.

“Sekarang ini, masalahnya ialah ketua parti lain, ketua kerajaan lain. Kadang-kadang parti kurang senang kerana dasar parti tidak diikuti dalam persoalan pemerintahan.

“Jadi, bagaimana anda nak paksa menteri besar? Menteri besar itu adalah jawatan yang sah. Sedangkan parti itu tadi boleh diumpamakan seperti NGO,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan berkata Lembaga Disiplin PKR tidak mempunyai bidang kuasa menyiasat perkara bukan berkaitan parti.

Dalam surat jawapan kepada notis tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu kepadanya sebelum ini, beliau berkata kelima-lima dakwaan salah laku disiplin yang perlu penjelasannya itu tidak mempunyai kaitan dengan PKR.