WATAK Armel Aisya menerusi drama rantaian popular, Rindu Awak 200% berjaya melonjakkan nama Ayda Jebat dalam industri hiburan tanah air.

Rentetan daripada populariti drama tersebut, ramai mula memberi perhatian terhadap bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu.

Mengulas mengenainya, kata Ayda dia tidak menyangka drama rantaian berkenaan akan mendapat sambutan hangat seperti ini.

“Sekarang ini, jika saya ke mana-mana, hampir kesemua peminat drama bersiri tersebut memanggil saya dengan nama Armel.

“Malah, kerana karakter saya juga, ada peminat yang marah dan geram dengan saya.

“Tetapi, sebenarnya mereka sangat memahami yang lakonan saya itu adalah atas kehendak watak,” katanya.

Bintang filem Gila-Gila Remaja 2 itu juga bersyukur apabila gandingannya dengan aktor berbakat besar, Zul Ariffin diterima peminat.

“Kami cuba memberikan sesuatu yang terbaik. Apabila ia mendapat sambutan hangat, ia bagaikan rezeki besar buat kami.

“Gandingan tersebut hanyalah melalui drama berkenaan. Tapi, ada pula peminat fanatik sehingga sanggup menghantar e-mel berharap agar kami berdua berkahwin dalam dunia sebenar.

“Saya tahu, mereka semua terlalu fanatik dan ini menunjukkan keserasian yang kami cipta benar-benar ‘menjadi’,” katanya.

Kata Ayda, dia sebenarnya takut untuk berlakon dengan Zul kerana aktor itu seorang yang sangat serius dan tegas.

“Saya pula seorang yang ‘gila-gila’ dan tidak duduk diam. Susah sebenarnya mahu menangani dia lebih-lebih lagi untuk babak yang memerlukan kami bersikap romantis,” katanya sambil tergelak.


Jadi duta

Dek populariti drama bersiri berkenaan, Ayda baru saja dilantik sebagai duta Aura White Bubbly.

“Alhamdulillah, mungkin ini tuah saya. Kehadiran saya dalam industri hiburan semakin disedari.

“Aura White Bubbly adalah produk kolagen khas untuk mereka yang berumur 12 hingga 25 tahun.

“Sejujurnya, saya gembira dilantik sebagai duta produk ini kerana secara tidak langsung saya meluaskan lagi skop pembabitan saya dalam industri ini,” katanya pada Zass.

Tambah Ayda lagi, dek sibuk mempromosikan produk tersebut, dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan kerana susunan jadual yang bercanggah.