KUALA LUMPUR - Kemelut politik Selangor yang melibatkan kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan sahaja meresahkan rakyat malah boleh memberi kesan kepada ekonomi negeri itu.

Penganalisis ekonomi merangkap Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata ekonomi negeri Selangor mungkin menjadi tidak seimbang berikutan konflik perebutan jawatan menteri besar di negeri termaju di Malaysia itu.

"Kesan terhadap ekonomi Selangor akan berlaku namun hanya bersifat sementara dalam jangka masa yang pendek sehingga pentadbiran baru mengambil alih Selangor kelak," katanya ketika  dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun bergantung pula kepada siapa yang akan mengambil alih jawatan menteri besar sama ada terdiri daripada individu yang mahir dari segi ekonomi atau sebaliknya.

"Jika menteri besar yang baharu seorang yang mahir selok belok ekonomi maka keadaan ekonomi Selangor akan kembali stabil namun jika sebaliknya, mereka perlu menubuhkan satu jawatankuasa penasihat khas pula," katanya.

Beliau berkata keadaan semasa politik Selangor ini akan menyebabkan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka akan berasa ragu sehingga mereka mengetahui siapa yang akan menggantikan menteri besar.

Jika pelabur masih berasa kurang yakin dengan pimpinan baru Selangor maka mereka dijangka beralih ke negeri-negeri lain yang lebih stabil keadaan politiknya.

Pandangan Mohd Yusof turut dikongsi Dekan Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed yang berpendapat bahawa pelaburan asing mungkin terhenti seketika di Selangor apabila keadaan politik menjadi tidak stabil.

"Pelabur akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menunggu dan melihat sejauh mana konflik ini berlangsung kerana antara faktor yang mendorong mereka menjalankan pelaburan adalah kestabilan politik," katanya.

Beliau berkata secara tidak langsung masyarakat diheret sama dalam konflik perebutan menteri besar kerana kepentingan mereka mungkin terjejas apabila pentadbiran kerajaan negeri menjadi kucar kacir.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila ada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipecat dan seterusnya menimbulkan masalah dari segi pentadbiran peringkat negeri.

Krisis Menteri Besar Selangor bermula apabila Abdul Khalid dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Ogos lepas kerana tidak menurut arahan parti supaya meletakkan jawatan.

Abdul Khalid pula, yang mengekalkan jawatan Menteri Besar selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, memecat lima anggota Exco Kerajaan Negeri daripada DAP dan PKR pada 12 Ogos lepas apabila mereka enggan menyokong kepimpinannya.

Dua hari lepas, Pas pula membuat keputusan menarik balik sokongannya terhadap Abdul Khalid dan menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai calon menteri besar yang baharu.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mesyuaratnya kemudian memutuskan bahawa hanya Dr Wan Azizah ialah calon tunggal bagi menggantikan Abdul Khalid.

Sementara itu Abdul Khalid telah diminta oleh Sultan Selangor untuk menunggu kepulangan baginda ke tanah air untuk majlis menghadap bagi membincangkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Sultan Selangor dijadualkan pulang ke tanah air pada 27 Ogos. - Bernama