SHAH ALAM - Seramai 445 daripada 2,062 responden laman sosial Twitter, Politweet.org mahu kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor kekal.

Bagaimanapun, tinjauan yang dibuat bermula 9 sehingga 15 Ogos lalu itu, sebanyak 10 peratus atau 209 responden krisis Menteri Besar Selangor mahu Abdul Khalid melepaskan jawatannya itu.

Lebih memeranjatkan apabila seramai 988 responden tidak memberi sebarang pandangan terhadap krisis itu.

Memetik laman Facebook Politweet, ia dilihat persoalan besar yang membangkitkan rasa kasihan kepada Abdul Khalid sendiri.

“Mereka keliru dengan alasan yang diberi PR dan melihat krisis ini tanpa sebarang penjelasan fakta yang kukuh.Responden juga mahu krisis ini ditamatkan segera,” kata laman itu.

Menurut laman itu lagi, seramai 206 orang atau 10 peratus daripada mereka memberi pandangan bercampur-campur dan tidak menyokong PR.

“Mereka dilihat tidak gembira dengan alasan diberi PKR selain tidak berpuas hati kerana Umno dan BN dituduh menjadi punca kemelut berkenaan.

“Mereka juga tidak memahami kenapa PR tidak menggunakan prosedur betul untuk menurunkan Abdul Khalid dan menunggu mesyuarat Pas untuk membuat keputusan,” jelas laman itu.

“Matlamat kami pada mulanya untuk mengukur pandangan orang ramai terutamanya mengekalkan atau menukar Abdul Khalid.

“Pelbagai pendapat bercampur membolehkan kami mengukur maklum balas kepada pihak-pihak lain yang terlibat seperti PR, Presiden PKR, Datuk Seri  Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata laman itu.

Tambahnya, sebanyak 10 peratus atau 206 orang tidak menyokong PR dan 5 peratus tidak menyokong Anwar dan Wan Azizah.

“Sementara tiga peratus responden (65 orang) rakyat tidak gembira terhadap semua parti dan krisis yang berlaku, manakala 2 peratus (34 orang) sahaja bersetuju sekiranya Dun Selangor dibubarkan,” jelas laman itu.

Tambah laman itu, penyokong Abdul Khalid dilihat mahu menteri besar itu menyertai Pas selain tidak setuju dengan alasan diberi PR.

“Mereka juga harus menghormati keputusan Sultan Selangor dan memberitahu Wan Azizah bukan pilihan terbaik untuk Selangor,” ujarnya.