Selangor tiada kuasa langsung atas Jais jika libat orang Islam, kata MB - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Selangor tiada kuasa langsung atas Jais jika libat orang Islam, kata MB

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minta Jabatan Agama Islam Selangor beri sendiri penjelasan berhubung kes tangkapan khalwat yang dikatakan tidak adil kerana pemantauan dilakukan hanya 5 minit. Gambar fail The Malaysian Insider.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor tidak ada kuasa ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika badan kerajaan itu mengambil tindakan ke atas orang Islam di negeri itu, lapor Selangorkini.

Malah, Jais hanya perlu memberitahu saja kerajaan negeri dan exco apabila mahu mengambil tindakan kepada orang bukan Islam tetapi tiada kuasa langsung jika membabitkan orang Islam.

"Malangnya, Jais hanya perlu memberitahu kerajaan negeri dan exco apabila membabitkan tindakan kepada orang bukan Islam. Tetapi kalau orang Islam, Jais tidak perlu meminta pandangan kerajaan negeri,” katanya sebagaimana dilaporkan laman web rasmi kerajaan negeri Selangor itu.

Kenyataan itu dibuat pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu semalam.
Khalid berkata demikian ketika mengulas tindakan dua penguatkuasa Jais menahan empat individu yang didakwa melakukan khalwat ketika semua mereka sedang sibuk berkemas untuk berpindah rumah.

Dalam kejadian pada 22 Jun lalu, Hanisha Abdul Rahman, 29, ditahan bersama pemandu, Muhammad Mukamil Nordin dan dua pekerja lain selepas dipantau selama lima minit.

Ketika tangkapan dilakukan, Hanisha sedang berada di dalam rumah bersama dua kakitangan yang juga rakan serumah sementara Muhammad berada di luar.

Susulan itu,  Khalid meminta Jais sendiri memberi penjelasan mengenainya.

Khalid berkata, Jais seharusnya melaksanakan tanggungjawabnya berlandaskan tatacara yang betul.

“Harap Jais dapat belajar sebab ada beberapa langkah yang diambil Jais tidak ikut tatatertib. Penangkapan adalah perkara menyusahkan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh media itu.

Pada 1 Jun lalu, Jais turut dikritik banyak pihak apabila menyerbu pengantin perempuan, Zarinah Abdul Majid kerana kekeliruan status agamanya.

Walaupun Khalid berjanji akan menyelesaikan isu agama Zarinah, namun tidak ada maklumat mengenainya sehingga kini.

Jais juga masih menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak dalam isu rampasan Bible Melayu dan Iban dari pejabat Persatuan Bible Malaysia yang tidak selesai hingga kini. – 6 Julai, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-tiada-kuasa-langsung-atas-jais-jika-libat-orang-islam-kata-mb
0 Komentar untuk "Selangor tiada kuasa langsung atas Jais jika libat orang Islam, kata MB "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI