BRASILIA: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal berkata pertukaran penjaga gol sudah pun dirancang lebih awal kerana berpendapat Tim Krul memiliki peluang lebih baik ketika mengharungi penentuan sepakan penalti.
Krul yang dimasukkan ketika perlawanan sudah berlangsung 120 minit menjadi wira Belanda apabila menamatkan badi penentuan penalti Oranje selepas menafikan dua sepakan Costa Rica untuk menang dengan keputusan 4-3.
“Setiap penjaga gol mempunyai kualiti tertentu dan kami merasakan dia memiliki capaian lebih baik, rekod lebih baik untuk menghalang penalti.” kata van Gaal.
“Kami berbincang perkara ini dengan Tim, bagaimana Costa Rica melakukan sepakan penalti mereka, turutan mereka. Jadi dia sudah bersedia. Dan kami bernasib baik kerana jika ia tidak menjadi, saya melakukan keputusan yang salah.
“Perkara seperti ini selalunya menjadi dalam bola sepak,” katanya.
Sebelum ini, Belanda hanya memenangi satu daripada lima penentuan penalti dalam lima kejohanan besar.
Penentuan penalti terpaksa dijalankan selepas Belanda yang jelas menguasai permainan gagal memecah kebuntuan gol sama ada dihalang penjaga gol lawan, Keylor Navas atau pun dinafikan tiang dan palang gol.
Kemenangan bermakna Belanda akan meneruskan permusuhan lama dalam Piala Dunia menentang satu lagi jaguh, Argentina termasuk final edisi 1978 yang menjadi milik lawan dari Amerika Selatan itu. - AFP
0 Komentar untuk "Piala Dunia: Percaturan bijak Van Gaal pacu Belanda ke separuh akhir"