MELAKA - Langkah memboikot produk dan perniagaan Israel akan menjejaskan ekonomi regim zionis, sekali gus dapat mengekang Israel daripada terus melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin.
 
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Muslim Abu Umar berkata, Israel mempunyai ekonomi beraneka yang mendapat kekuatan daripada beberapa sektor khususnya pembuatan dan tindakan memboikot produk itu akan melemahkan sektor berkenaan.
 
Beliau berkata, memboikot produk dan perniagaan Israel merupakan perjuangan penting yang semua orang di dunia boleh turut serta dalam mempertahankan penduduk Palestin daripada "peluru" regim zionis Israel.
 
"Ekonomi amat penting bagi Israel untuk kekal kuat, khususnya aspek persenjataan, jadi apabila ekonominya lemah, kami percaya aspek persenjataan juga akan lemah dan ini bermakna kurang serangan terhadap rakyat Palestin," katanya.
 
Media melaporkan menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan Palestin, Ashraf Al-Qudra, 193 orang di Gaza telah terbunuh oleh serangan udara Israel yang dilancarkan sejak minggu lepas yang telah memusnahkan rumah, sekolah dan masjid.
 
Muslim berkata, selain boikot produk dan perniagaan, boikot sepenuhnya peringkat antarabangsa melibatkan pelbagai sektor penting seperti perdagangan, politik dan akademik akan memencilkan Israel daripada dunia dan mewujudkan tekanan terhadap regim zionis untuk menghapuskan dasar apartheidnya terhadap penduduk Palestin.
 
"Tindakan boikot semakin meningkat khususnya di Eropah dan juga di sini di Asia, dan kini sudah terdapat universiti-universiti antarabangsa yang memutuskan hubungan dengan universiti Israel dan saya berharap dengan peningkatan sokongan daripada masyarakat antarabangsa, Palestin akan bebas satu hari nanti," katanya.
 
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'mor Osman berkata, tindakan memboikot barangan dan perniagaan berkait Israel hanya akan memberikan kesan mendalam sekiranya dilakukan dengan konsisten dan teratur.
 
"Krisis Palestin bukan krisis sehari dua, jangan pula sekarang ketika Israel menyerang Palestin kita boikot tetapi bila tidak serang kita tidak boikot, selagi Palestin itu tidak bebas daripada cengkaman Israel kita perlu terus konsisten boikot," katanya.
 
Beliau berkata orang ramai perlu bijak dalam memboikot barangan berkaitan Israel supaya tindakan itu mampu mendatangkan kesan kepada Israel dan tidak memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia sendiri.
 
"Kaji dahulu barang apa kita hendak boikot dan cari barangan pengganti daripada pembuat Islam sendiri, realitinya sukar untuk kita boikot semua barang Israel ini atas pelbagai sebab, tetapi kita perlu bermula mungkin dengan dua atau tiga barangan itu suatu permulaan cukup baik," kata Ma'mor.
 
Beliau berkata, apabila boikot itu dilakukan secara berstrategi dan sistematik, pendapat yang mengatakan memboikot barangan dan perniagaan berkait Israel boleh memberikan kesan buruk kepada ekonomi rakyat Malaysia akan menjadi tidak relevan sama sekali. - Bernama