NAMA Anas Ridzuan mungkin masih asing pada pendengaran sesetengah orang walaupun anak muda ini telah beberapa tahun bertapak dalam industri seni tanah air.

Pernah menyertai program realiti Mentor 6 sebagai protege Faizal Tahir, ketika itu timbul desas-desus yang mengatakan Anas dikenali semata-mata kerana mentornya lantaran populariti yang dimiliki oleh pelantun lagu Sampai Syurga itu.

Pun begitu, penyanyi lagu Hanya Dirimu ini merupakan seorang penghibur serba boleh, apatah lagi bakatnya dalam bidang seni tidak boleh disangkal kerana mendapat pendidikan formal serta memiliki diploma dan Ijazah Seni Lakon dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM.

Selepas meraih tempat ketiga dalam Mentor 6, jejaka berusia 25 tahun ini seakan tenggelam dalam arena hiburan arus perdana walaupun pada hakikatnya dia aktif dengan aktiviti seni indie seperti teater dan muzik.

Ketika ditemui, Anas tidak menafikan dia kerap dibayangi oleh selebriti lain dalam industri seni ini.

“Dulu masa saya masuk Mentor, orang samakan saya dengan Hafiz Suip. Mungkin sebab rambut saya yang kerinting ni lebih kurang sama dengan dia, dan kebetulan masuk pun program realiti berbentuk nyanyian juga, “katanya.

Terbaru, Anas sudah terjun ke dunia lakonan layar perak dan membawa watak komedi dalam filem CEO arahan Razaisyam Rashid.

Justeru, dia disamakan dengan pelawak terkenal, Johan pula dek kerana melakonkan watak kelakar.

Bagaimanapun, Anas menganggap dirinya tidak setanding dengan Johan apatah lagi bidang yang diceburi serta kelebihan Johan adalah komedi, berbeza dengannya.

“Saya tak kisah disamakan dengan Johan. Sebab kalau orang lihat saya untuk kali kedua, mereka dapat bezakan yang saya ni Anas Ridzuan. Lagipun saya ni orang tak berapa kenal pun.

“Nak kata saya dibayangi Johan itu, saya rasa tidak. Sebab hasil kerja saya berlainan dengan Johan. Dia memang pelawak, tapi saya cuma pelakon yang membawa watak dalam naskhah lawak,” ujarnya.


Teater minat utama

Ketika diajukan soalan mana antara lakon layar dan teater mana yang menjadi pilihannya, Anas menyatakan bidang teater merupakan minat utamanya kerana itu yang dipelajari selama enam tahun di universiti.

“Saya minat teater sebab itu ilmu yang saya timba selama enam tahun di UiTM. Tapi saya serahkan kepada rezeki, kalau ada rezeki yang mampu saya ambil, saya buat.

“Walaupun saya ada latar belakang pendidikan dalam bidang lakonan, tapi orang tak pandang benda tu. Orang masih tak kenal, jadi saya jadikan Mentor sebagai platform untuk bertapak dalam dunia seni ni dan dikenali orang,” katanya.

Dalam pada itu, Anas turut memanfaatkan kebolehan dalam bidang muzik yang dimiliki menerusi penglibatannya sebagai pengarah muzik teater Projek Kahwin yang telah pun dipentaskan di Istana Budaya, 6 Jun lalu.