Kenyataan Hafarizam menyalahi hak asasi manusia, kata MCA - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kenyataan Hafarizam menyalahi hak asasi manusia, kata MCA

Wanita MCA hari ini mengecam kenyataan peguam Umno, Datuk Hafarizam Harun yang menggunakan alasan 'uzur' terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai halangan untuk pemimpin parti itu tidak menjadi calon menteri besar Selangor.

Ketuanya Datuk Heng Seai Kie berkata menafikan peluang presiden PKR itu untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor hanya kerana Wan Azizah seorang wanita dilihat bertentangan dengan hak asasi manusia.

Katanya, kenyataan peguam Umno yang menggunakan perbezaan jantina sebagai alasan  untuk mendiskriminasi pemimpin itu juga dilihat tindakan berat sebelah dan tidak boleh diterima.



"Saya amat kecewa dengan kenyataan Hafarizam yang dipetik akhbar New Straits Times (NST) mengatakan perempuan tidak boleh menjadi menteri besar kerana bakal berdepan dengan kekangan untuk menemani Sultan apabila wanita itu sedang dalam keadaan uzur (haid)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sewajarnya calon menteri besar tidak dilihat berdasarkan jantina atau kecenderungan biologinya sebaliknya ia perlu dinilai berdasarkan pengalaman kemampuan dan komitmen yang mampu diberi dalam memimpin rakyat di Selangor.

Selain itu katanya berdasarkan Perkara 51 (2) Perlembagaan Negeri Selangor 1959  jelas  menetapkan calon menteri besar merupakan bangsa Melayu dan Islam.

Beliau berkata, selain Melayu dan Islam, perlembagaan itu langsung tidak menyebut perempuan tidak dibenarkan memegang jawatan berkenaan.

"Saya mahu mengingatkan kepada semua kaum lelaki cauvinis termasuk Hafarizam tanpa perempuan yang dilahirkan dengan sifat biologi (kitaran menstruasi), manusia atau sesiapa daripada kita tidak akan wujud hari ini.

"Kaum wanita perlu dihargai dan dihormati oleh semua dan bukannya dilihat sebagai penghalang atau alasan menghalang wanita daripada bergerak ke depan," katanya.

Semalam Hafarizam dipetik NST berkata, walaupun Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak meletakkan syarat jantina, tetapi beliau membayangkan akan berlaku kesukaran jika Wan Azizah mengiringi Sultan dalam majlis agama rasmi ketika dalam haid.

Kenyataan Hafarizam itu mendapat kritikan orang ramai dalam media sosial termasuk pemimpin Umno sendiri.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menolak kenyataan Hafarizam itu berkata tidak ada halangan untuk wanita menjadi menteri besar meskipun tidak bersetuju Wan Azizah menjadi calonnya.

"Secara peribadi wanita amat layak menjadi menteri besar atau perdana menteri, tetapi bukan wanita itu (Wan Azizah)," kata Khairy.

Sementara itu, Heng tidak menolak pemilihan calon menteri besar juga perlu mengambil kira sensitiviti dan pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat di negara ini.

"Tanggungjawab menemani Sultan dalam majlis agama bukan isu kerana kita sememangnya tahu, sebagai seorang Sultan yang berjiwa rakyat, sudah semestinya beliau akan memahami keadaan dan berfikiran terbuka terhadap perkara demikian," katanya.

Namun Heng juga dilihat bersependapat dengan Khairy mempertikaikan kepemimpinan Wan Azizah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, untuk menjadi menteri besar.

Katanya, Wan Azizah kemungkinan hanya dikorbankan menjadi boneka dalam percaturan politik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Secara jujur, isunya ialah saya lebih bimbang sekiranya Wan Azizah dipilih, adakah beliau bersedia dan mampu untuk memimpin Selangor dengan baik?

"Lebih penting, adakah beliau diberi kebebasan sepenuhnya ketika memimpin? Ini kerana, berdasarkan pencapaian lalu, beliau terpaksa menjadi boneka yang dimanipulasi suaminya Anwar, demi kepentingan peribadi dalam agenda politiknya," katanya. – 16 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenyataan-hafarizam-menyalahi-hak-asasi-manusia-kata-mca#sthash.qhE4XlRG.dpuf
0 Komentar untuk "Kenyataan Hafarizam menyalahi hak asasi manusia, kata MCA"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI