Niat saya jaga nama Sultan Selangor, kata Khalid Samad - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Niat saya jaga nama Sultan Selangor, kata Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) terkejut dengan reaksi Sultan Selangor terhadap cadangan beliau sebelum ini agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dikaji semula kerana ia bertujuan menjaga institusi diraja di kalangan rakyat jelata.

"Saya ucap terima kasih kepada Tuanku kerana menegur saya, cuma saya terkejut mengapa baginda murka?

"Saya membuat cadangan dengan niat baik untuk menjaga nama baik sultan dan bukan untuk merampas kuasa sultan," katanya kepada The Malaysian Insider.



Khalid berkata, beliau akan menulis surat kepada Sultan Selangor untuk memohon menghadap bagi menerangkan apa yang beliau maksudkan sebelum ini
Khalid sebelum ini mencadangkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak diletakkan secara langsung di bawah Sultan Selangor untuk menjaga kedudukan Sultan sebagai pelindung agama Islam.

Ini kerana, sebarang kesilapan yang dibuat Mais atau jabatan di bawahnya akan memberikan nama buruk secara langsung kepada Sultan jika ia diletak terus di bawah baginda.

Beliau mencadangkan Mais menjalankan kuasa pelaksana saja dan bukan mempunyai kuasa eksekutif.

Beliau mengaitkan beberapa kes yang berlaku di Selangor yang dipandang serong termasuk isu rampasan Bible, serbuan ke atas perkahwinan Hindu hatta tangkapan khalwat mereka yang sedang berpindah rumah.

Namun kenyataan Khalid tidak disenangi oleh Sultan Selangor.

Ketika berucap merasmikan Masjid Pekan Sepang semalam, Sultan Selangor menyerang Khalid secara langsung di mana baginda menyebut enam kali nama Khalid Samad dalam titah baginda itu.

Baginda merujuk kenyataan Khalid yang disiarkan beberapa akhbar utama tanah air.

"Beta merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanah air pada 18 Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

"Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu," titah baginda.

Baginda berkata, Khalid yang bukannya anak jati Selangor namun berpeluang menjadi ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah melengkapkan diri memahami sejarah Selangor dan mendalami undang-undang terpakai di negeri itu terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Baginda bertitah, kenyataan Khalid menunjukkan beliau jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Sultan dalam menjalankan kuasa baginda sebagai ketua Agama Islam di Negeri Selangor.

"Tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa beta sebagai ketua Agama Islam yang mendapat nasihat daripada Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang," titah baginda.

Ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan tentang isu berkaitan tentang kuasa eksekutif Mais dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk, titah baginda.

"Beta menyeru kepada Khalid di masa akan datang beliau berwaspada mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa beta dan peranan Mais dalam menasihati beta mengenai agama Islam," titah baginda.

Dalam titah itu, Sultan Selangor berkata baginda amat dukacita dengan golongan ekstemis agama, liberalisasi agama dan juga pluralisme agama.

Baginda mentafsirkan ekstremis agama yang dimaksudkan adalah golongan yang sering mencetuskan keganasan tanpa batasan, manakala liberalisasi agama merujuk kepada mereka yang mengamalkan budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar akidah Islam.

Pluralisme agama pula adalah mereka yang berpendapat semua agama termasuk Islam adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama lain.

“Kita perlu akur Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi kerana ia adalah agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Semua golongan ini perlu dibendung agar akidah umat Islam terpelihara dan dilindungi.

"Beta mahu rakyat Selangor mengamalkan agama Islam yang ‘moderate’ mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," titah baginda. – 16 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/niat-saya-jaga-nama-sultan-selangor-kata-khalid-samad#sthash.QDiE3hRy.dpuf
0 Komentar untuk "Niat saya jaga nama Sultan Selangor, kata Khalid Samad"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI