KUALA LUMPUR - Lagi kecaman terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan baru-baru ini.

Penganalisis politik Md Shukri Shuib berkata tindakan Ramasamy itu hanya menunjukkan ketidakmatangan beliau sebagai ahli politik dan bekas ahli akademik.     Beliau berkata Ramasamy bersikap prejudis terhadap usaha Kerajaan Persekutuan yang selama ini berusaha menjaga keselamatan negara melalui kestabilan dan perdamaian antara kaum. 

"Ramasamy diibaratkan sebagai ahli politik berminda zionis yang tidak prihatin kepada sensitiviti kaum terutama kaum majoriti negara ini. Sebagai Timbalan Ketua Menteri, beliau seharusnya bersikap lebih konstruktif dalam membina keamanan.

"Semestinya beliau memahami sejarah dan implikasinya. Nasihat pemimpin negara seharusnya boleh dijadikan pedoman namun Ramasamy seolah-olah cuba menjadi pejuang namun tidak mempunyai hala tuju," kata pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu kepada Bernama.

Ramasamy didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan semasa mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa peristiwa rusuhan kaum mungkin berulang sekiranya perpecahan antara kaum tidak dibendung.

Dipetik sebuah portal berita pada 7 Julai lepas, Ramasamy dilapor sebagai berkata bahawa beliau tidak gentar sekiranya peristiwa 13 Mei berulang semula.  

Ekoran kenyataannya yang berbaur hasutan itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Mohamed Zaman Khan Rahim Khan membuat laporan polis terhadapnya pada 9 Julai. 

Polis kini sedang mempertimbangkan untuk memanggil Ramasamy bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berkenaan. Sehingga 10 Julai lepas, tiga laporan polis dibuat terhadap Ramasamy berhubung kenyataannya mengenai rusuhan kaum itu.

Md Shukri berkata Ramasamy terlebih dahulu perlu berhati-hati dengan kata-kata beliau sebelum bersikap prejudis terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri. - Bernama