KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Pas Terengganu mahu Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan baharu negeri.
  
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, pilihan raya baharu perlu diadakan atas faktor kedudukan Barisan Nasional (BN) memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Pas (14), PKR (1) dan Bebas (3) ketika ini.
  
"Kita sarankan supaya menteri besar yang baharu dilantik, yang tidak lagi membawa majoriti parti yang memerintah supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri kerana itu lebih gentleman," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini,hari ini.
  
Ditanya keyakinan Pas memenangi pilihan raya negeri seandainya Dun dibubarkan, Satiful berkata Pas yakin berdasarkan kepada perkembangan politik tanah air yang lebih memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).

Kemelut politik tercetus di Terengganu ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam.
  
Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar yang baharu.
  
Berikutan itu, Ahmad yang juga Adun Kijal; Ghazali Taib, Adun Ajil; dan Roslee Daud (Bukit Besi) keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas hari ini.
  
Pas pernah memerintah Terengganu bagi tempoh 1999-2004 dan 1959-1960. 
  
Pada PRU13, BN menang majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dun Terengganu. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-terengganu-mahu-mb-bubar-dun-1.279801