PPIM: Bukan Islam jangan cepat melatah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PPIM: Bukan Islam jangan cepat melatah

KUALA LUMPUR - Masyarakat bukan Islam di negara ini diminta bertenang dan tidak cepat 'melatah' dengan cadangan pelaksanaan hukuman hudud yang akan dibentangkan Pas di Parlimen untuk diaplikasikan di Kelantan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pelbagai pihak perlu duduk semeja dan berbincang secara matang bagi menghuraikan segala kekusutan dan salah faham berhubung tujuan utama undang-undang Islam itu cuba dilaksanakan.

"Saya tak nampak kebaikan kita bergaduh sesama sendiri kerana ia hanya akan menyebabkan negara berpecah-belah. Hudud tak dilaksanakan pun lagi, kita tak tahu pun kesannya terhadap masyarakat setakat ini.

"Pelbagai pihak perlu faham sejarah dan aspirasi negara dan melihat perkara ini (pelaksanaan Hudud) dengan dada yang lapang agar ia dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, aktivis PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied berkata, Malaysia di bawah pentadbiran Umno sebagai parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan nasib mana-mana kaum, malah mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum melaksanakan sesuatu dasar.

"Jangan bantah selagi kita tak faham. Mungkin ada sedikit perbezaan kepercayaan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam, namun jangan jadikan ia sebagai satu sebab untuk kita berpecah.

"Hudud mengajar kita untuk menjadi manusia yang lebih baik, bagaimanapun jangan jadikan isu ini sebagai satu batu loncatan untuk mengaut kepentingan politik," katanya.

Isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kembali hangat menjadi perbincangan umum akhir-akhir ini apabila kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Pas, melalui anggota Parlimen parti itu, bercadang membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, Jun ini.

Ia bagi mendapatkan kebenaran Parlimen melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Namun, hasrat Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ditentang keras sekutunya, DAP, bahawa pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan  Pas-DAP-PKR. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ppim-bukan-islam-jangan-cepat-melatah-1.278545
0 Komentar untuk "PPIM: Bukan Islam jangan cepat melatah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI