Ideologi DAP dan seruan Isma: Satu pertembungan – Abu Ameen - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ideologi DAP dan seruan Isma: Satu pertembungan – Abu Ameen

Apabila membaca artikel atau penulisan daripada beberapa pendokong DAP tentang Islam, kita akan dapati ada beberapa kekurangan berkenaan pemahaman Islam. Hujah yang mereka kemukakan sering berlegar dengan konsep “kami menghormati Islam, namun pandangan kami hanya mengupas daripada sudut perlembagaan iaitu Islam adalah agama rasmi Malaysia.”

Di sinilah titik pertembungan antara DAP dan Isma.

Parti DAP komited kepada perjuangan untuk sebuah Malaysia yang bebas, berunsur sosialisme demokratik, berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi, dan berasaskan institusi demokrasi Parlimen. Maka DAP sering melihat kedudukan Islam hanya seperti agama lain yang terhad kepada aktiviti ritual dan upacara keagamaan.



Islam yang difahami oleh DAP adalah daripada kerangka pemahaman barat yang sekular amalan Islam adalah urusan peribadi yang terpisah daripada isu kenegaraan, kemasyarakatan, perundangan, pertahanan, kepemimpinan, pendidikan, kewangan dan lain-lain lagi.

Ada di kalangan mereka hanya melihat Islam cukup dengan ibadah tertentu yang tidak mencampuri isu pemerintahan. Di kalangan mereka beranggapan Islam hanyalah akhlak baik dan amalan kerohanian semata-mata. Bagi mereka Islam terhad kepada santapan falsafah yang mengenyangkan akal dan roh dan harus dipisahkan daripada unsur materialisme. Ada yang hanya mengkagumi nilai tertentu dalam Islam seperti kasih sayang dan persaudaraan tanpa meninjau atau memikirkan lebih jauh dari itu. Ada pula melihat Islam hanyalah amalan tradisi yang diwarisi dari bangsa Arab yang tidak membawa sebarang kemajuan walaupun sedikit.

Manakala Isma melihat kedudukan Islam lebih luas dan lebih jauh daripada itu. Isma melihat perlembagaan hanyalah ciptaan manusia yang boleh dipinda manakala Islam adalah daripada Allah yang kekal buat selamanya. Islam adalah deen. Islam adalah sebagai satu cara hidup merangkumi aspek peribadi dan masyarakat. Islam adalah rohani dan amali.

Hasan Al-Banna rahimahullah menyimpulkan dengan baik: Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan selain sebagai perlembagaan dan pendidikan, undang-undang dan kehakiman. Islam adalah satu sistem bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah material dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Islam adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

Semua elemen kehidupan tersebut tidak dapat dipisahkan daripada Islam.

Inilah seruan Isma dan Isma komited dengan penuh keyakinan sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 208-209:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.”

Kita membayangkan selepas lebih 7 tahun berinteraksi dengan rakan politik dalam Pakatan dan berpuluh tahun di Parlimen, mereka seharusnya sudah memahami tiada sekularisme di dalam Islam dan mendapat penerangan yang lebih menyeluruh tentang Islam jika dibandingkan dengan sebelum ini.

Namun, pendirian mereka tentang Islam seakan-akan tidak pernah berubah dan masih degil mahu melihat Islam di sebuah negara yang majoritinya penduduk Islam daripada sudut yang kecil iaitu amalan individu semata-mata. Mereka masih melihat kedudukan Islam sebagai sama rata dengan agama lain dan tidak harus diberi kelebihan berbanding agama lain.

Saya hanya berharap, rakan-rakan Pakatan yang beragama Islam tidak membawa pandangan yang sealiran atau menyokong apatah lagi mendokong pandangan DAP yang menyeleweng ini. Bukankah sudah sampai masanya umat Islam menerangkan ajaran Islam dengan lebih jelas kepada mereka yang bukan Islam di negara kita? Bukankah sudah sampai masanya, kita mengutarakan dan membuktikan kepada mereka Islam adalah penyelesaian yang dinanti-nantikan di Malaysia? Bukankah sudah tiba masanya, dialog antara agama tidak hanya membincangkan persamaan antara agama tetapi dialog untuk mencari agama mana yang benar di sisi Allah?

Sudah sampai masanya, kita berani tampil menerangkan kepada jiran-jiran kita yang bukan Islam apakah ajaran Islam yang sebenar sekali pun sebaris ayat supaya dapat kita katakan kepada Allah di hari akhirat nanti, “Ya Allah sesungguhnya aku telah menyampaikan”. Islam tidak hanya terhad disampaikan melalui akhlak yang mulia tetapi kata-kata penerangan yang terang, jelas dan tegas berkenaan Islam.

Sudah tiba masanya kita mengajak mereka untuk menerima Islam tanpa perlu rasa takut dengan menerangkan tujuan kejadian manusia di atas muka bumi ini. Jika tidak mampu terangkan, bawalah mereka kepada pusat-pusat dakwah Islam seperti Hidayah Centre, IPSI (Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa) atau berjumpa secara langsung mana-mana pendakwah di Malaysia.

Pada waktu yang sama, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia lebih mengambil tanggungjawab mengembangkan Islam dan menengahkan Islam kepada bangsa-bangsa lain dan negara lain sebagai sebuah sistem yang bersifat global dan mampu mengemukakan penyelesaian yang betul, tepat dan memuaskan untuk semua masalah manusia.

Dakwah Islam adalah untuk semua dan umat Islam adalah umat yang satu. Islam adalah perutusan untuk seluruh dunia dan ajaran tauhid ini didatangkan untuk kebaikan seluruh bangsa manusia. Islam adalah sumber rujukan utama dan unggul dalam kehidupan manusia.

Maka kepada para pemimpin DAP, MCA dan parti-parti lain sama ada komponen BN mahupun PR, Isma mengambil kesempatan ini menyeru secara terbuka agar menerima dan memeluk Islam. Islam adalah satu sistem sosial yang lengkap mencakupi seluruh aspek hidup manusia. Islam tetap segar kerana ia adalah agama yang benar di sisi Allah. Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 19:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

Firman Allah lagi di dalam surah Yunus: ayat 57-58;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit jiwa  yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan.”

Inilah seruan Isma.

Kepada para pemimpin DAP, MCA dan parti lain dari komponen BN mahupun PR, ucapkanlah kalimah shahadah dengan terbuka lalu katakanlah dengan penuh rendah diri “Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku juga bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah yang terakhir.”

Andai kata kamu menolak, renungilah pula dari surah At-Takwiir ayat 26-27:

“(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.”

Andai kata kamu masih menolak, kepada Allah kami berserah dan kami beriman sepenuhnya dengan Firman Allah di dalam surah Al-Kafirun ayat 1-6:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah Allah yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu deen kamu, bagiku deen aku.”

Inilah seruan Isma kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Kami menyeru umat Islam di Malaysia agar bersepakat di atas dasar akidah untuk mendaulatkan kedudukan Islam di bumi Malaysia. Hanya apabila Islam berdaulat di tanah air, kesejahteraan di bumi Malaysia moga-moga akan tercapai insya-Allah.

Inilah seruan Isma.

Saksikanlah ya Allah, sesungguhnya kami telah menyampaikan. – 27 April, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/ideologi-dap-dan-seruan-isma-satu-pertembungan-abu-ameen
0 Komentar untuk "Ideologi DAP dan seruan Isma: Satu pertembungan – Abu Ameen"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI