CYBERJAYA - Kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara Pas dengan parti komponen PR tidak sah apabila DAP secara terang-terangan menolak agenda Islam yang dibawa oleh parti itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman mendakwa syarat tahaluf siyasi dalam syariat Islam ialah orang bukan Islam mestilah menerima agenda Islam.

"Dalam konteks itu (Pas perlu keluar dari PR) sudah haram Pas kalau terus bersama dengan DAP.

"Kalau sudah cabar dan tolak supaya Pas keluar dari PR, bagi saya dari segi syariat sudah tidak sah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita Islam (Konwanis) 2014 di Universiti Multimedia Cyberjaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook semalam yang menegaskan Pas perlu berundur dari PR jika parti itu terus bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Anthony dalam kenyataan medianya semalam mendakwa tindakan pemimpin kerajaan negeri Kelantan mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud ke Dewan Rakyat telah mencabuli permuafakatan PR apabila ia dilakukan tanpa mencapai kata sepakat atau konsensus dalam Majlis Presiden PR.

Tegasnya, jika Pas bertegas membuat sebrang keputusan dan tindakan yang tidak melalui konsensus itu, Parti itu sewajarnya berundur dari PR.

http://www.sinarharian.com.my/politik/isma-haram-pas-terus-bersama-dap-1.274504