KOTA BHARU - Pas menyatakan kesediaannya untuk mengadakan muzakarah dengan semua pihak termasuk Umno untuk membincangkan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tiada masalah mengadakan pertemuan itu bagi membolehkan perbincangan secara mendalam dibuat termasuk menentukan sama ada wakil Pas atau Umno yang bertanggungjawab untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan.

“Parlimen ada ‘standing order’ berkait undang-undang persendirian, sama ada Pas kemukakan atau Umno sendiri kemukakan, itu boleh kita bincang, yang penting adalah kewajipan perlu dilaksanakan.

“Soal bila pertemuan itu dibuat, itu kena tanya pihak lain (Umno), tidak akan menjadi (pertemuan) kalau tepuk sebelah tangan,” katanya selepas majlis makan malam mengumpul dana  membina Wisma Ilmuan Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Abdul Hadi mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan parti itu mengambil pendirian sebagaimana ketetapan kerajaan iaitu tidak pernah menolak hukum hudud dan menyokong niat baik Pas.

Bagi tujuan itu, Najib menyatakan Umno sedia mendengar penjelasan Pas berhubung usul mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyatakan PKR masih berpendirian menolak pelaksanaan hudud sebagaimana perjanjian Majlis Presiden Pakatan Rakyat 2011, Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan secara spesifik isu hudud.

“Bagaimanapun kita pernah buat kenyataan bersama yang melibatkan kepimpinan Pakatan Rakyat bahawa itu (hudud) adalah hak Pas yang perlu dihormati kerana agenda tersebut ada sebelum Pakatan Rakyat wujud  lagi,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/pas-sedia-muzakarah-isu-hudud-1.274549