HUDUD sekali menjadi isu hangat yang diperdebatkan di persada politik negara berikutan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private member’s bill) bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau undang-undang hudud dikuatkuasakan di negeri pimpinan Pas tersebut.

Walaupun usul tersebut masih belum sampai di pekarangan Parlimen, bantahan keras terhadap hasrat Pas itu sudah menjadi semakin kencang dan agak berlebihan, terutamanya daripada DAP.


Hujah dan serangan DAP kepada Pas

Alasan DAP adalah konsisten, bahawa hudud adalah bertentangan dengan perlembagaan yang ada. Justeru, ia tidak wajar dikemukakan.

Bagi mereka, Pas perlu menggugurkan hasrat ini jika ingin terus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Penentangan hudud menjadi semakin beremosi sehingga Ahli Parlimen Seremban daripada DAP, Anthony Loke mengeluarkan kata-kata yang ditunggu Umno-BN selama ini, apabila beliau menyuruh Pas keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya ingin melaksanakan hudud.

Apa yang beliau dan DAP takutkan pada hudud sehingga kini tidak dapat dikenal pasti selain daripada hujah bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan.

Namun yang pasti, bilangan orang Melayu yang memandang serong DAP sedikit sebanyak meningkat apabila Sinar Harian mengambil kenyataan beliau sebagai muka depan akhbarnya Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, ‘fobia’ DAP terhadap hudud juga menyebabkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng melakukan sesuatu yang luar biasa.

Selama ini, DAP yang menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengikuti cara Mahathir dalam bermain perkauman di dalam politik dan juga pentadbiran - tetapi dengan kontroversi hudud, tiba-tiba Guan Eng bertukar nada dan meminta Najib mengikut kata-kata Mahathir.

Berlainan dengan bapanya, Lim Kit Siang cuba menyakinkan Pas bahawa hudud tidak membantu untuk memenangi pilihan raya dengan memberikan fakta secara berdata.

Cara Kit Siang secara tidak langsung menunjukkan DAP mementingkan kemenangan pilihan raya berbanding segalanya, seperti parti politik yang lain.

Dalam kata lain, baginya, parti politik tidak seharusnya melakukan sesuatu yang tidak memberikan keuntungan politik.

Apa yang Kit Siang katakan itu adalah logik, tapi ia tidak boleh digunakan dengan Pas.

Perlu diingatkan, Pas bukan sahaja sebuah parti politik, ia adalah satu gerakan Islam.

Daripada kefahaman penulis, ahli Pas lebih takut melakukan sesuatu yang mengundang azab ALLAH daripada segalanya; sebagai contoh, tidak berusaha melaksanakan hudud apabila sudah berkerajaan.


Hak demokrasi Pas dan DAP sebagai penjunjung demokrasi

Sebenarnya, walaupun tanpa penentangan keras bertalu-talu atas pelaksanaan hudud, pihak umum tahu DAP tidak menyokong hasrat Pas untuk melaksanakan hudud.

Dalam kontroversi hudud kali ini, Pas mengambil langkah tidak membelot, tidak membelakangkan kawan mahupun rakyat jelata dengan mengumumkan hasratnya secara terbuka, tanpa sebarang sembunyi untuk menghantar usul undang-undang persendirian ke Parlimen.

Pas menggunakan hak demokrasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk mencuba nasib bagi mendapatkan kelulusan untuk melaksanakan hudud di Kelantan, yang menjadi sebahagian daripada manifesto mereka terhadap rakyat Kelantan selama ini.

Apakah tindakan Pas untuk menunaikan janji manifesto dan mencuba nasib di ruang demokrasi yang tersedia ini satu tindakan yang tidak demokratik?

Boleh difahamkan penentangan DAP terhadap hudud ini ada kaitan dengan pertarungannya dengan MCA untuk menjaga undi bukan Melayu.

Tetapi sebagai sebuah parti yang menjulang demokrasi seperti namanya ‘Democratic Action Party’, DAP perlu bertanya apakah wajar menyerang Pas yang mengambil langkah demokrasi untuk merealisasikan cita-citanya untuk melaksanakan hudud?

Daripada sudut prinsip demokrasi, penulis berpendapat DAP tidak patut menyerang dan membantah tindakan Pas untuk membawa usul rang undang-undang persendirian untuk diundi di Parlimen.

Itu adalah hak demokrasi Pas yang perlu dihormati.

Cukuplah sekadar mesej pada Pas bahawa tiada seorang pun daripada 39 ahli Parlimen DAP yang akan menyokong usul tersebut di Parlimen.

DAP juga boleh berkempen agar ahli Parlimen lain menolak usul yang dibawa oleh Pas seperti mereka.

Tetapi untuk mengkritik dan menghalang Pas untuk membawa usul tersebut ke Parlimen, ia satu pencabulan terhadap hak demokrasi Pas yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti yang bernama ‘Democratic Action Party.’

Tidak perlulah ugutan seperti yang dibuat oleh Anthony Loke, dan Lim Guan Eng yang menyarankan Najib mengikut kata-kata Mahathir terhadap hudud yang menyinggung ramai umat Islam.

Serangan bertali arus keras ini menghantar mesej yang salah pada orang Melayu, bahawa DAP menjadikan agenda penentangan terhadap hudud, satu kewajipan yang tidak boleh ditolak oleh seorang yang beragama Islam, jauh lebih penting daripada menumbangkan Umno-BN.

Barangkali kerana tersedar hal ini, semalam Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar semua pimpinan Pakatan Rakyat tutup mulut mengenai kontroversi hudud.


Nasihat

DAP sudah sedia maklum hudud adalah sebahagian daripada perjuangan Pas sejak penubuhannya.

Apabila duduk bersama, DAP juga sedar bahawa Pas tidak akan menggugurkan cita-cita ini.

Ketika isu hudud bergema di 2011, bukankah Pas dan DAP mencapai persetujuan untuk ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dan masing-masing menghormati hak untuk memperjuangkan agenda parti sendiri secara bersendirian, tanpa melalui Pakatan Rakyat?

Mengapa lupa pada persetujuan itu?

DAP tidak perlu berlumba dengan MCA dan Gerakan untuk menunjukkan siapa hero untuk melawan hudud.

Tidak perlu berlumba mengeluarkan kenyataan kerana permainan kejar-mengejar ini mudah menyebabkan diri terperangkap.

Perkara yang wajar diberi pujian ialah meskipun DAP keras menentang pelaksanaan hudud, sehingga kini tiada pemimpin DAP yang menghina hudud, bukan seperti penentang-penentang hudud di BN yang tidak dapat membezakan antara zina dan rogol dan memahami bahawa intipati hudud ialah “biar salah lepas, jangan tersilap hukum.”

Akhirnya, hudud ialah agenda Pas sendiri dan bukan Pakatan Rakyat.

Biarlah Pas sendiri yang menentukan nasib cita-citanya di Parlimen.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/hudud-kesan-penentangan-dap-pada-persepsi-melayu-1.275013