Realiti Kolumpo, Moral yang semakin terhakis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Realiti Kolumpo, Moral yang semakin terhakis

DEWASA ini, jarang benar dapat kita melihat mengenai kisah penyatuan kaum dalam sesebuah naskhah filem. Berbeza dengan karya-karya dari Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allayarhamah Yasmin Ahmad yang banyak menerapkan cerita-cerita mengenai penyatuan masyarakat dalam filem penghasilannya.

Namun, bagi anda yang merindui filem-filem seumpama itu, anda tidak patut melepaskan peluang menonton filem yang memperlihatkan gandingan pertama Bront Palarae, Sheikh Munasar dan Rozi Izma menerusi filem Kolumpo.

Melihat sendiri tajuk filem ini sudah cukup memberi gambaran mengenai kisah-kisah masyarakat di pusat bandar Kuala Lumpur itu sendiri. Dengan sebutan dan ejaan bahasa pasarnya, tiga pengarah ini membawa penonton melayari tiga kisah yang berbeza, namun sebenarnya saling berkaitan antara satu sama lain.

Paling penting, momen-momen yang ditunjukkan dalam filem ini adalah senario biasa yang dapat kita lihat hari ini. Menariknya, ujar Bront, projek filem ini terhasil dari perbincangan di meja belajar sehingga ke kedai kopi.

"Pada asalnya kami mahu menghasilkan sebuah filem pendek, namun selepas melihat skrip dari setiap seorang, kami perasaan ada persamaan dari segi jalan cerita.

"Kami sepakat untuk menggabungkan tiga filem pendek ini menjadi satu, lalu terhasillah Kolumpo,” katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem tersebut di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Filem Kolumpo menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Sharifah Amani, Ruminah Sidek, Mano Maniam, Azad Jasmin, Radhi Khalid, Soffi Jikan, Nell Ng, Amirul Ariff dan Sherry Alhadad.

Tiga pengarah, tiga kisah

Kolumpo membawa penonton melayari kisah tiga kaum dan mengangkat bahasa ibunda masing-masing menerusi tiga kisah yang berbeza, namun tetap meninggalkan kesan sama rata kepada semuanya masyarakat.

Ia dimulakan dengan kisah Rahul, seorang pendatang dari India baharu tiba di bandar dan mengetahui syarikat yang menawarkan pekerjaan kepadanya telah pun muflis. Dia telah dibantu oleh seorang pemilik restoran dan memulakan kehidupan di ibu kota sebagai pekerja tanpa izin.

Di Setapak, Gienna adalah seorang wanita berbangsa Cina dalam lingkungan umur 30-an. Dia sering  mengelak panggilan telefon daripada ibunya. Pada satu hari dia telah membantu seorang wanita tua nyanyuk untuk mencari rumahnya.

Di Ampang, Haffid, seorang pemuda bertemu dengan seorang gadis di stesen LRT selepas mereka ketinggalan tren terakhir. Haffid yang tidak pernah bercinta menganggap kejadian yang berlaku adalah takdir dan harapan untuk bertemu cinta pertamanya.

Tiga kisah berbeza dalam sebuah filem mencipta satu kelainan yang mengejutkan dan hubungan antara manusia yang memberikan kehidupan di bandar.

Garapan kemas

Paling penting, dengan menampilkan pelakon yang cukup berbakat besar dalam bidang lakonan membuatkan Kolumpo ibarat sebuah makanan yang cukup segala rempah dan rasanya. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan, antara kisah yang dipaparkan sememangnya berlaku dalam realiti masyarakat hari ini.

Ia menunjukkan moral sesetengah masyarakat yang semakin terhakis dan perlu diberi perhatian dengan segera. Dengan mengambil latar belakang Kuala Lumpur itu sendiri, pada pendapat penulis, pengarah telah berjaya menyampaikan segala isi tersirat yang diharapkan dapat difahami dan di ambil iktibar oleh penonton.

Justeru, bagi anda yang ingin merasai sendiri emosi Kolumpo, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

http://www.sinarharian.com.my/hiburan/realiti-kolumpo-moral-yang-semakin-terhakis-1.228220
0 Komentar untuk "Realiti Kolumpo, Moral yang semakin terhakis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI