PPPM telah diuji dan terbukti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PPPM telah diuji dan terbukti

KUALA LUMPUR - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diumumkan minggu lalu akan menjadi pelan transformasi yang membuahkan hasil kerana pelaksanaannya telah diuji dan terbukti dengan kejayaan 13 sekolah amanah.

Pengerusi Panel Semakan Bebas Pendidikan Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak hari ini berkata beliau berpendapat sekolah amanah merupakan satu contoh sedia ada mengenai sekolah yang mengalami perubahan.

"Isu yang sering diajukan orang ramai kepada saya ialah sama ada pelan itu boleh dilaksanakan? Dan saya dengan yakin boleh berkata ia boleh dilaksanakan kerana sekolah amanah merupakan satu model sekolah yang telah mengalami perubahan sejak dua tahun lalu.

"Tanpa sekolah amanah agak sukar untuk meyakinkan orang ramai bagaimana pelan itu boleh dilaksanakan, (jika) tiada model, tiada orang berpengalaman.

Kita bertuah kerana sekolah-sekolah amanah telahpun sedia ada," katanya di sini hari ini.

Dzulkifli yang kini merupakan Naib Canselor AlBukhary International University, berkata terdapat 13 sekolah amanah yang menyaksikan pelan pembangunan itu semasa prapelaksanaannya. Selain lima sekolah amanah yang ada di Johor, lima sekolah amanah sudah diwujudkan di Sarawak manakala tiga lagi di Kuala Lumpur. Konsep sekolah amanah ialah menerapkan pembelajaran secara holistik kepada pelajar bagi membolehkan mereka belajar secara kendiri dan kreatif.

Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PPPM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan minggu lalu.

"Selepas dua tahun sekolah amanah itu dilancarkan, sekarang kita dapat melihat perubahan besar. Budaya pembelajaran di sekolah amanah telah ditukar untuk melihat pelajar kita menjadi pelajar abad ke-21.

"Para pelajar sekolah amanah lebih yakin dan petah berkata-kata. Sebagai contoh, apabila Timbalan Perdana Menteri melawat sebuah daripada sekolah berkenaan di Gelang Patah (Johor) pada 5 September, beliau dipimpin pelajar-pelajar meninjau sekolah itu dan bukan oleh pasukan kepemimpinan sekolah," kata Dzulkifli.

Beliau berkata dengan transformasi dalam sistem pembelajaran Malaysia yang dilaksanakan di sekolah amanah, pelajar mendapat pengalaman dengan gaya pembelajaran yang sama dengan pelajar di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

"Terdapat pencapaian tidak ketara yang besar oleh pelajar sekolah amanah dalam tahap keyakinan mereka, kemahiran kepimpinan, cara pelajar bekerjasama antara satu sama lain di dalam bilik darjah dan cara mereka menyoal guru dan berkomunikasi dengan guru mereka melalui program yang dikenali sebagai kumpulan suara pelajar," kata Dzulkifli

Beliau berkata sekolah amanah bukan hanya setakat mengenai peratusan dan mendapat semua A tetapi juga menumpukan kepada kemahiran insaniah pelajar.

"Jika anda mendapat kepujian kelas pertama, baguslah. tetapi sebaik anda memasuki pasaran kerja, orang tidak bercakap lagi mengenai kepujian kelas pertama anda. Orang bercakap mengenai apa jenis kepujian kelas pertama anda.

"Anda boleh menjadi (graduan dengan) kepujian kelas pertama tetapi jika anda tidak petah berkata-kata, saya rasa anda sudah terkeluar... Jadi kita melihat kepada keseluruhan pelajar yang sangat jauh berbeza berbanding apa yang kita panggil sekolah konvensional.

Di sekolah-sekolah amanah, kita tidak meraikan 5A atau 4A tetapi kita meraikan pencapaian pelajar sebagai seseorang," katanya.

Sehubungan itu, Dzulkifli berkata modul dalam pelan itu sudahpun diuji melalui pewujudan sekolah amanah dan kini ia cuma berkisar mengenai cara untuk melaksanakannya di sekolah-sekolah.

"Modul pelan itu kesemua modul yang sudah diuji bukannya modul yang baru hendak dicuba. Saya tidak fikir kita akan ambil risiko sedemikian rupa.

"Para pelajar bukan bahan uji kaji. Kesemua modul direka oleh ahli profesional dan ia boleh dilakukan. Peranan kita sekarang ialah bagaimana nak melaksanakannya," katanya.

Dzulkifli berkata sekolah amanah merupakan idea hasil inisiatif Khazanah Nasional Berhad dalam bentuk perkongsian awam dan swasta.

"Jika kita mahu melakukan transformasi dan membiarkan Kementerian Pendidikan melakukannya bersendirian, mungkin ia agak sukar. Ini kerana sekolah-sekolah di Malaysia perlu ada satu model yang telah sekian lama berjalan dan untuk membolehkan sekolah-sekolah itu berubah sekelip mata, saya fikir ia bukan mudah," katanya.

Dzulkifli berkata idea sekolah amanah pada asasnya ialah bagi sebuah sekolah untuk bekerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad dan melihat bagaimana sekolah itu boleh diubah dengan cara berunding dengan kementerian.

Beliau berkata sekolah amanah membenarkan pihak-pihak yang prihatin untuk membuat perubahan kepada kurikulum dan aspek-aspek lain bagi sekolah sedia ada untuk melihat beberapa perubahan yang ketara.

"Sekolah-sekolah yang kita pilih sebagai sekolah amanah adalah pelbagai seperti sekolah luar bandar, bandar, vernakular (Sekolah Tamil Kangkar Pulai), sekolah kebangsaan dan minoriti (sekolah Orang Asli). Setiap orang (pelajar di semua sekolah) akan mendapat pengalaman yang sama bukan seperti sekarang di mana  berbeza di sekolah-sekolah yang berasingan," kata Dzulkifli.

Beliau berkata sistem di sekolah-sekolah pada masa ini menekan pelajar untuk mendapat 5A tetapi selepas pelajar mendapat 5A, usaha itu berhenti setakat itu.

"Dengan sekolah yang mengalami perubahan atau sekolah amanah jika mereka belajar dengan betul mereka boleh mendapat 5A.
Jika kita beri tekanan kepada pelajar mereka akan menunjukkan prestasi yang baik tetapi pada akhirnya saya tidak fikir mereka akan belajar.

"Cabaran sekarang ialah bagaimana mereka belajar dan pencapaian akan menyusul. Idea sekarang bukan hanya setakat untuk bercakap mengenai persekolahan tetapi pembelajaran. Dengan sekolah yang mengalami perubahan, pembelajaran sepanjang hayat menjadi sebahagian daripada kehidupan," katanya. - Bernama

 http://www.sinarharian.com.my/nasional/pppm-telah-diuji-dan-terbukti-1.201380

0 Komentar untuk "PPPM telah diuji dan terbukti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI