PPSMI boleh bantu naikkan ranking - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PPSMI boleh bantu naikkan ranking

KUALA LUMPUR- Tindakan kerajaan tidak memasukkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam pelan pendidikan negara adalah satu kesilapan kerana ia boleh membantu menaikkan ranking universiti di Malaysia yang dilihat terus menurun.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih banyak penekanan perlu diberikan kepada penggunaan bahasa itu terutama bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah untuk menaikkan ranking universiti di negara ini.

Beliau bagaimanapun menerima baik dasar baru kerajaan yang menetapkan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia bermula 2016.

Menurutnya, kewujudan lebih banyak universiti dalam tempoh yang singkat di Malaysia menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi universiti berbanding 30 hingga 40 tahun lalu.

“Kita ada banyak universiti sekarang, jadi kebanyakan tenaga pengajar tidak betul-betul berpengalaman. Kita telah terlebih menggunakan (kemampuan) sendiri,” katanya semasa ditemui selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Dewan Perniagaan Perdagangan dan Industri Jepun di Malaysia, di sini semalam.

Ranking universiti dunia yang dikeluarkan QS World University Ranking baru-baru ini menunjukkan kedudukan universiti awam Malaysia terus merosot dengan hanya Universiti Malaya masih berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia tahun ini.

Selain itu, hanya tujuh universiti Malaysia berada dalam kelompok 800, dengan Universiti Teknologi Malaysia sahaja yang menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada kedudukan 358 pada tahun 2012, kepada 355 tahun ini.

Sementara itu, menyentuh isu penentangan beberapa kumpulan pendidikan Cina terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Mahathir secara sinis berkata kumpulan tersebut memang wujud untuk menentang sebarang dasar kerajaan.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat bahawa prestasi universiti di Malaysia mula menurun selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) diperkenalkan kerajaan dan akta itu menjadi penghalang untuk meningkatkan prestasi universiti.

“Adakah bagus untuk pelajar menggunakan wang orang lain untuk membuat demonstrasi? Orang bagi mereka duit untuk belajar, mereka guna duit untuk (sertai) demonstrasi.

“Kalau mereka beritahu (kerajaan), ‘saya mahu ke universiti untuk (sertai) demonstrasi’, kita tak akan bagi mereka duit. Mereka kata nak belajar, tapi sebaliknya mereka buat demonstrasi, kemudian keputusan (peperiksaan) tak bagus,” katanya.

 http://www.sinarharian.com.my/nasional/ppsmi-boleh-bantu-naikkan-ranking-1.201654

0 Komentar untuk "PPSMI boleh bantu naikkan ranking"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI