PPPM tiada kaitan politik - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PPPM tiada kaitan politik

LONDON - Langkah meningkatkan tempoh masa pembelajaran subjek Bahasa Melayu (BM) daripada 180 minit kepada 240 minit seminggu di semua sekolah vernakular adalah hasil kajian dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, keputusan itu tiada kaitan dengan politik sebaliknya merupakan agenda pendidikan yang dirumuskan oleh pakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, langkah itu dikemukakan kerana kementerian tidak mahu melihat murid sekolah vernakular mengikuti pembelajaran subjek BM pada tahap rendah berbanding pelajar sekolah kebangsaan.

“Kementerian tidak membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya hanya untuk menguatkuasakan ia semata-mata. Ini soal pendidikan, bukan politik. Saya bukan pakar pengajar, bukan menteri yang menyimpulkan berapa tempoh masa paling sesuai untuk sesi itu, tapi pakar pengajar yang merumuskannya,” katanya pada sidang media ketika dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), kelmarin.

Lanjutan tempoh masa pembelajaran subjek BM di sekolah vernakular adalah antara ketetapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar oleh Muhyiddin di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Ditanya mengenai perbuatan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mengkritik PPPM, Muhyiddin berkata beliau enggan mengulas setiap perkara yang dibangkitkan persatuan itu. Ini kerana katanya Dong Zong akan terus mengkritik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak dilancarkan, PPPM menerima banyak maklum balas termasuk menerusi kira-kira 55,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mahu sistem pendidikan negara ini berjaya.

"Ada juga pihak yang mahu Kementerian Pendidikan melibatkan mereka secara berterusan bagi mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan pelan induk pendidikan negara itu," katanya.

Muhyiddin sebelum itu menghadiri ‘Forum Merdeka 2013: 56 Years of Merdeka, Road to 2020’ anjuran pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK.  - Bernama

 http://www.sinarharian.com.my/nasional/pppm-tiada-kaitan-politik-1.201854

0 Komentar untuk "PPPM tiada kaitan politik "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI