LIGA SUPER : Kedah makin corot - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

LIGA SUPER : Kedah makin corot

Kedah makin corot


Penyerang Perak Nazri Kamal (kiri) terjatuh selepas bertembung dengan pemain Kedah Khyril Muhymeen (duduk, kanan) semasa perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Perak baru-baru ini. Perak menang 1-0. - BERNAMA


IPOH - Laluan Kedah untuk mempertahankan piala Liga Super semakin sukar apabila jurang perbezaan mata dalam persaingan liga utama itu semakin membesar.

Kini perbezaan mata antara Kedah selaku juara bertahan dua tahun berturut-turut dengan pendahulu liga, Selangor meningkat kepada sembilan mata.

Jurang perbezaan mata itu membesar apabila Kedah kalah mengejut kepada Perak 0-1 di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Kekalahan itu merupakan kekalahan kedua berturut-turut bagi Hijau Kuning setelah ditumpaskan oleh Selangor 1-3 pada 23 Mei lalu.

Selangor dan Kedah sudah beraksi 17 perlawanan dan masih berbaki sembilan perlawanan untuk menentukan juara mutlak musim ini.

Selangor selesa di depan setelah mengumpul 40 mata dan Kedah pula di tangga keempat dengan 31 mata.

Namun begitu, Perlis dan Negeri Sembilan tetap menjadi penghalang utama kepada Kedah untuk meraih takhta liga.

Perlis mengekori rapat pendahulu liga dengan mengutip 38 mata di tangga kedua dan Negeri Sembilan pula di tangga ketiga setelah mengumpul 33 mata.

Oleh itu, Kedah perlu memenangi seberapa banyak perlawanan yang masih berbaki jika ingin mengekalkan piala di Alor Setar bagi musim ketiga berturut-turut.

Penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din menyatakan bahawa Hijau Kuning berazam meraih mata penuh dalam pertemuan dengan Perlis di gelanggang sendiri Sabtu ini.

''Kami tidak boleh kalah lagi kerana akan meluaskan jurang perbezaan mata dengan Selangor," jelas Radhi di Ipoh, semalam.

Mengenai kekalahan mengejut Kedah, Radhi berkata, barisan serangan yang tumpul menyebabkan pasukan tersebut terlepas banyak peluang gol.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh Razali Umar Kandasmy pada minit ke-47.

Radhi berkata ketiadaan tiga tonggak utamanya turut menjejaskan rentak persembahan Hijau Kuning bagi memburu gol.

0 Komentar untuk "LIGA SUPER : Kedah makin corot"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI