Tanpa GST, Kerajaan Tidak Boleh Berfungsi Untuk Rakyat - Najib - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tanpa GST, Kerajaan Tidak Boleh Berfungsi Untuk Rakyat - Najib



KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanpa GST, negara tiada sumber hasil yang kukuh untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

"Kalau tak ada sumber hasil yang kukuh, kita tak boleh membina sekolah, menjalankan perkhidmatan kesihatan, mengawal keselamatan melibatkan polis dan tentera, memberi biasiswa (kepada pelajar), bayar pencen kepada 1.6 juta penjawat awam. Ini semua memerlukan sumber kewangan.

"Kalau kita tolak GST, ini bermakna kita menolak lebih RM50 bilion setahun. Kalau kita tolak RM50 bilion daripada bajet, maka kerajaan tidak boleh berfungsi sebenarnya dan banyak perkhidmatan yang hari ini kita beri kepada rakyat tidak boleh dilaksanakan," kata Najib yang juga Presiden Umno.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato Onn di sini, Rabu malam.

Pada Selasa, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan bahawa Pakatan Harapan konsisten terhadap pendiriannya dengan komitmen untuk mengenakan sifar peratus GST jika gabungan itu berkuasa.

Jelas Najib lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) berbeza dengan pembangkang yang sering membuat janji kepada rakyat tanpa berlandaskan fakta.

Merujuk kepada negara-negara luar yang mengamalkan demokrasi, katanya, apabila satu pihak menjanjikan macam-macam tanpa fakta yang kukuh, pastinya akan berdepan  masalah.

Tambah Najib, mereka kemudian menyedari bahawa sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan kerajaan sebagaimana yang dibayangkan semasa pilihan raya.

"Sebab itu, pengundi di Malaysia perlu faham, mereka (pembangkang) akan berjanji macam-macam untuk meraih sokongan saja, sedapkan orang yang mendengar tetapi hakikatnya mana-mana kerajaan mesti berdiri atas sumber hasil yang kukuh.

"Mereka ini sebenarnya tak cakap yang benar. Perkiraan mereka bersifat politik dan bukan berpijak di atas kenyataan dan realiti," kata Najib.

Baru-baru ini, Nurul Izzah berkata, mengurangkan kadar GST kepada sifar peratus akan mengurangkan impak negatif GST apabila Pakatan Harapan diberi mandat untuk memerintah.

Bagaimanapun pada Ahad lalu dilaporkan bahawa Pakatan Harapan akan mengekalkan GST jika ia mengambil alih kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) meskipun tidak akan mengekalkan 6 peratus seperti sekarang.

Mengulas tindakan Pakatan Harapan untuk mengekalkan GST, Najib berkata, pusingan-U di kalangan pembangkang adalah amalan biasa bagi parti berkenaan.

"Ia biasa dan banyak lagi pusingan-U yang akan mereka buat. Ada dua tiga kali pusingan-U bagi isu yang sama," katanya.


Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/04/26/kjaan-tanpa-gst/#zJep6jZcOodoWQLF.99
0 Komentar untuk "Tanpa GST, Kerajaan Tidak Boleh Berfungsi Untuk Rakyat - Najib "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI