Keputusan Kes Berasaskan Niat Jahat Boleh Dicabar Di Mahkamah - Bekas Hakim - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Keputusan Kes Berasaskan Niat Jahat Boleh Dicabar Di Mahkamah - Bekas Hakim

PUTRAJAYA: Mahkamah adalah 'hakim' muktamad yang dapat menentukan sebarang salah laku, kata Datuk Mohd Noor Abdullah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, sehubungan itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh penjawat awam dengan niat jahat boleh dicabar di mahkamah.

"Apa juga keputusan awam yang dibuat oleh penjawat awam dengan niat jahat boleh dicabar di mahkamah undang-undang.

"Bagaimanapun saya percaya Peguam Negara tidak menyalahgunakan kuasa dalam membuat keputusannya baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Panel Khas dan Panel Penilaian Operasi (PPO) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan SPRM di sini, Khamis.

Mesyuarat tersebut membincangkan tentang keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengarahkan SPRM menutup kes SRC International dan dana RM2.6 bilion setelah mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan kes itu.

Bercakap atas kapasiti bekas hakim, bukannya sebagai salah seorang daripada lima anggota Panel Khas, Mohd Noor berkata,  orang awam kini lebih berpendidikan dan mahu beberapa perkara berkaitan kes yang tidak didakwa diperjelaskan.

Selain Mohd Noor, empat lagi panel adalah Tan Sri Musa Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Lim Chee Wee dan Datuk Zuraidah Atan.

Beliau memberi contoh maklumat pengaliran wang yang dalam kedua-dua kes tersebut yang dianggap penting untuk pengetahuan umum.

"Sebagai Peguam Negara anda boleh membuat keputusan tetapi ia juga perlu memberi jawapan kepada orang awam.

"Masyarakat kini berpendidikan, mereka tak boleh ditipu," katanya.

Dua panel bebas itu pada Khamis menasihatkan SPRM supaya melibatkan diri semula dengan Peguam Negara berhubung dua kes yang telah diputuskan itu.

Mohamed Apandi pada sidang media Selasa berkata, Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Katanya, beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

0 Komentar untuk "Keputusan Kes Berasaskan Niat Jahat Boleh Dicabar Di Mahkamah - Bekas Hakim"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI