Abu Kassim Arah Siasat Pegawai SPRM - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Abu Kassim Arah Siasat Pegawai SPRM

PETALING JAYA:  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengarahkan laporan polis dibuat terhadap pegawainya berhubung kenyataan yang dilaporkan media berkaitan keputusan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion.

"Biar saya nyatakan dengan jelas, jika ia adalah benar, tindakan itu tidak boleh diterima dan pihak terlibat akan dikenakan tindakan.

"Saya telah mengarahkan laporan polis difailkan supaya perkara ini disiasat secara bebas. Pegawai SPRM mesti mendukung standard etika yang tinggi dengan mengambil kira sumpah jawatan mereka," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Abu Kassim mengingatkan pegawainya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media tanpa melalui Bahagian Komunikasi Strategik SPRM atau selepas mendapat kelulusan daripadanya.

Pada Rabu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin dilaporkan berkata, bahawa agensi itu mungkin akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohammed Apandi Ali yang telah melepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.6 bilion dan pinjaman RM4 bilion kerajaan kepada SRC International.

Bagaimanapun Abu Kassim menegaskan, pihaknya tidak bercadang untuk mencabar atau mempertikai keputusan Peguam Negara yang mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

"Seperti yang dinyatakan semalam, tindakan SPRM untuk merujuk kes berkenaan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) adalah satu prosedur operasi standard bagi penutupan mana-mana kes," katanya.

Tambah beliau, SPRM akur bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menghentikan apa-apa prosiding undang-undang mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

0 Komentar untuk "Abu Kassim Arah Siasat Pegawai SPRM"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI