Tahaluf siyasi Pas, PKR masih relevan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tahaluf siyasi Pas, PKR masih relevan

SUBANG JAYA - Tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dan PKR masih wujud lagi meskipun parti Islam itu tidak bersama ketika penubuhan Pakatan Harapan, hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata kerjasama antara dua parti itu masih berjalan seperti biasa, berdasarkan pendirian Pas dalam muktamarnya pada Jun lalu.

"Memang betul, di pihak Pas dan PKR, kita memang ada satu bentuk kerjasama dengan Pas lagi.

"Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan di Selangor, walaupun Pas tidak menyertai Pakatan Harapan ini, begitu juga wakil PKR ada juga Adun dan ahli Majlis di Kelantan adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kedudukan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor susulan penubuhan Pakatan Harapan tanpa Pas, yang berkuat kuasa, hari ini.

Rafizi juga berkata, penubuhan pakatan pembangkang baharu itu merupakan satu perkembangan yang baik dalam mematangkan kerjasama politik antara parti-parti pembangkang.

"Ini satu perkembangan yang baik bagi negara kerana kita bergerak ke arah satu kerjasama politik yang lebih matang berbanding di negara lain," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, kedudukan pakatan pembangkang di Selangor tidak terjejas berdasarkan sokongan terbuka Adunnya kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, sebelum ini.

"Tidak terkesan, kerana Perlembagaan di Selangor ataupun di Persekutuan, ia menetapkan bahawa seorang ahli dewan Selangor yang mendapat mandat dan sokongan majoriti daripada ahli-ahli dewan yang lain.

"Oleh kerana sebelum ini pun semua Adun Selangor sudah berikan komitmen bahawa mereka terus beri sokongan kepimpinan Azmin Ali, jadi itu tiada apa-apa perubahan," katanya lagi.

0 Komentar untuk "Tahaluf siyasi Pas, PKR masih relevan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI