G18 Tiada Kaitan Dengan PasMa - Dzulkefly - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

G18 Tiada Kaitan Dengan PasMa - Dzulkefly

PETALING JAYA: Pembentukan sebuah parti politik baharu yang dikatakan akan diterajui oleh kumpulan yang dikenali sebagai G18 tiada kaitan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang tewas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, G18 dan PasMa adalah dua entiti yang berbeza serta mempunyai hala tuju dan matlamat berlainan.

"Jangan salah faham, kami (G18) bukan sebahagian daripada rancangan PasMa. Apa yang saya faham ialah PasMa merupakan sebuah NGO yang mesra Pakatan Rakyat.

"Tapi kalau ada pemimpin mereka nak tubuhkan parti politik baharu, itu hak mereka. G18 tak ada kaitan dengan itu," kata Dzulkefly yang juga Setiausaha jawatankuasa bertindak G18 kepada mStar Online pada Rabu.

Pada 13 Jun lalu, Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu bagi menggantikan peranan PAS dalam pakatan pembangkang.

Tiga hari selepas itu, dalam sebuah majlis di Muar, pemimpin PAS dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti awal bulan ini membentuk sebuah gerakan yang dikenali sebagai G18.

G18 diterajui bekas Timbalan Presiden PAS yang tewas, Mohamad Sabu, selain bekas naib presiden, Salahuddin Ayub dilantik menjadi timbalan pengerusi dan Suhaizan Kayat sebagai penolong setiausaha.

Mengulas mengenai kemampuan G18 untuk berdiri sebagai sebuah parti politik, Dzulkefly bagaimanapun meminta semua pihak bersabar menunggu pengumuman lanjut mengenai hala tuju mereka.

"Kami tidak menyebut ia akan berakhir sebagai sebuah parti politik. Pengerusi (Mohamad Sabu) sebutkan ia sebagai 'wadah baharu'.

"Ia perlukan kejutan, tunggulah apa yang dimaksudkan dengan wadah itu. Tapi saya fikir orang politik mungkin akan faham maksudnya. Tapi apapun harap bersabar tunggu kejutan daripada kami," katanya.

Ditanya masa yang diperlukan untuk G18 mengumumkan pendirian, Dzulkefly bagaimanapun berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa.

"Saya akui ia tak semudah yang disangka. Tapi bagi saya secara peribadi...ia tak boleh terlalu lama. Tak boleh biarkan lama-lama," katanya.

0 Komentar untuk "G18 Tiada Kaitan Dengan PasMa - Dzulkefly"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI